• oleh: Rosman Shamsudin (wartawan NSTP)
  • foto: Nurul Hasniza Mohd Rashid

Tanjung Malim: Selain terkenal dengan pekan persinggahan untuk ‘makan’ , kawasan Tanjung Malim sebenarnya mempunyai banyak kawasan pelancongan yang menarik boleh dikunjungi dan diterokai oleh orang ramai.

Naib Cancelor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata sebelum ini, apabila sampai di pekan ini maka orang ramai hanya ingat ‘ pau ‘ sahaja tetapi sebenarnya kawasan ini mempunyai pelbagai tarikan tersendiri.

Menurutnya, kawasan Tanjung Malim mempunyai gunung, banjaran dan sungai serta air terjun yang boleh dikunjungi orang ramai bagi menjalankan pelbagai aktiviti riadah atau pelancongan

” Kita mempunyai kira-kira 20 kawasan air terjun, 10 gunung dan 15 laluan untuk aktiviti basikal dan motosikal lasak atau pacuan empat roda.

” Kawasan ini banyak kesan peninggalan sejarah di zaman penjajahan Inggeris dan Jepun dan UPSI sendiri juga yang terkenal dengan sejarah perjuangan nasionalisma negara yang mempunyai Rumah Zaa’ba, Muzium Pendidikan Nasional dan 26 laluan bersejarah di UPSI,” katanya.

Beliau berkata demekian ketika ditemui selepas melakukan perlepasan kira-kira 150 peserta berbasikal sempena Program Familiarization Trip ( Farm Trip) Ekspres Koc Basikal (XKB) yang dianjurkan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dengan jalinan kerjasama Kelab Berbasikal UPSI di perkarangan Stesen KTMB Tanjung Malim, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin, Ketua Pegawai Korporat KTMB, Suhaimi Yaacob dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Muallim, Norhaidah Riboet.

Md Amin berkata beliau amat berterima kasih kepada pihak KTMB yang menganjur dan memilih Tanjung Malim sebagai lokasi penganjuran program sekaligus dapat meletakkan kawasan ini dalam peta pelancongan negara.

Katanya, dengan kehadiran peserta berbasikal dari Kuala Lumpur, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan diharap dapat mendedahkan kepada peserta tentang kawasan tarikan yang terdapat di daerah ini.

” Program hari juga dapat memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa dengan keretapi juga boleh menjalankan pelbagai aktiviti sebagai contoh membawa basikal dan juga peralatan sukan yang lain.

” Impak program ini sudah tentu akan mengalakkan aktiviti pelancongan yang lebih kreatif dan menyemai gaya hidup lebih sihat dalam ekosistem pelancongan negara,” katanya.

Md Amin berkata pihak UPSI akan terus memajukan sektor pelancongan di kawasan Tanjung Malim kerana ia adalah salah satu sumber ekonomi kepada penduduk di daerah ini.

Katanya, UPSI sendiri mempunyai hotel sendiri untuk menggalakkan pelancong datang dan menginap dengan selesa serta lengkap dengan pelbagai kemudahan riadah.

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)