KUALA LUMPUR, 2 Februari – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) komited untuk melahirkan usahawan TVET yang mampu mencipta peluang pekerjaan.
Penyelaras FTV Incorporated UPSI, Prof Madya Dr Ridzwan Che Rus berkata pelbagai kursus kemahiran jangka pendek ditawarkan.
“Ke arah menjadi pusat bertauliah Sijil Kemahiran Malaysia, kita juga menyediakan pelbagai jenis kursus jangka pendek untuk memenuhi syarat.
“Ada juga kemahiran tertentu yang kita boleh pelajari dalam masa tiga hari, mungkin tujuh hari iaitu kursus micro credential yang boleh memberi nilai tambah kepada diri.
“Di sini kita mencipta peluang pekerjaan bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga rakan dan masyarakat di Malaysia khususnya,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.
Orang ramai terutama yang kehilangan pekerjaan akibat pendemik COVID-19 disaran merebut peluang yang disediakan. – Berita RTM