TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) buat julung-julung kalinya mengadakan Majlis Serahan Surat Aku Janji Bajet dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 2022 bagi memantapkan pengurusan strategik universiti.
Majlis penyerahan disampaikan Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff kepada semua ketua teras dan dekan Fakulti.
Beliau berkata, tujuan penyerahan tersebut untuk memudahkan semua kepimpinan melaksanan tugas berdasarkan KPI Pelan Strategik dan berpandukan hala tuju UPSI.
“Bajet 2022 UPSI bertemakan Mendepani Cabaran, Memperkasa Kecemerlangan adalah berlandaskan kepada KPI, aspirasi pengurusan kanan serta output pencapaian yang berimpak tinggi,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.
Sementara itu Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed berkata, penekanan Bajet 2022 UPSI menfokuskan pada pemerkasaan program akademik dengan meningkatkan kaedah pengajaran & pembelajaran (PdP) secara pendigitalan.
Katanya, ini termasuk memperkasakan modul-modul Massive Open Online Courses (MOOCs), pembinaan lebih banyak kelas pintar serta meningkatkan kualiti prasarana teknologi maklumat.
“Antaranya menerusi perolehan server-server baharu, pembinaan pusat data baru dan lain-lain selaras dengan keperluan IR4.0.
“UPSI turut menekankan konsep pembelajaran berdasarkan pembelajaran berterusan dan amali yang mendedahkan asas keusahawanan kepada para pelajar dari peringkat awal pengajian,” ujarnya.-K! ONLINE