oleh: Aina Arisya
UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil pendekatan baharu bagi memperkenalkan institusi pendidikan tersohor itu secara realiti maya menerusi “UPSI 360 Virtual Reality”.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, fenomena COVID-19 yang melanda dunia dan negara ini membataskan pergerakan manusia dan pengunjung termasuk calon-calon mahasiswa.
Justeru, katanya, menyedari halangan itu maka UPSI menampilkan kaedah realiti maya untuk memberi peluang kepada masyarakat sama ada dari dalam mahupun luar negara meneroka suasana, ruang dan kemudahan kampus tanpa perlu berada di dalam kampus.
Menurutnya, UPSI memiliki dua kampus yang lengkap dengan pelbagai kemudahan yang kondusif iaitu Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS) di Tanjung Malim dan Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) di Proton City manakala ssebuah lagi kampus di Teluk Intan masih dalam peringkat pembinaan.
“Ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelajar baharu tidak dapat mendaftar di kampus sekali gus sehingga empat semester tidak berpeluang menikmat kehidupan kampus,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, sempena sambutan 100 Tahun UPSI bermula zaman Sultan Idris Training College (SITC), universiti menerusi Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) memperkenalkan aplikasi realiti maya untuk memudahkan pelajar baharu mengenalpasti fasiliti dan lokasi bangunan yang ada di kedua-dua kampus.
“Malah, kami juga ingin menggalakkan kehadiran pelancong melalui inisiatif peelancongan berasaskan pendidikan (EduTourism) yang boleh mereka nikmati seperti UPSI Adventure Park, UPSI Sport City, Muzium Pendidikan Nasional, Muzium Zoologi Fakulti Sains dan Matematik, serta panorama indah kampus berlatarbelakangkan Banjaran Titiwangsa,” katanya.
Jelasnya lagi, KSAJS terkenal dengan keunikannya yang memiliki bangunan-bangunan warisan antaranya Bangunan Suluh Budiman, dan Rumah Za’ba yang seringkali menjadi lokasi pengunjung bergambar.
Katanya, UPSI sudah membina bangunan untuk sukan bowling bersebalahan Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Azlan Shah dan bakal menjadi tarikan baharu kepada pelajar dan pengunjung yang berada di kampus.
Oleh itu, sistem realiti maya bertepatan dengan seruan Menteri Pengajian Tinggi , Datuk Seri Dr Noraini Ahmad terhadap inisiatif pendigitalan di semua institusi pengajian tinggi awam di negara ini.
Orang ramai boleh melawat UPSI dengan menggunakan link berikut iaitu https://360vr.my/upsi/. –SM