Tanjung Malim, 16 Februari 2022: Selaras dengan hasrat kerajaan merealisasikan pendigitalan pendidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menubuhkan Fakulti Komputeran dan Teknologi Digital.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Naib Canselor 2022 di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City yang bertemakan “Peneraju Kebitaraan Pendidikan”.
Dengan tertubuhnya fakulti berkenaan, katanya, UPSI menjadi satu-satunya universiti pendidikan yang meneraju inisiatif pemerkasaan pendigitalan pendidikan negara.
“UPSI juga akan membuat rombakan kurikulum dalam pengajaran dengan bersandarkan kepada lima teras iaitu keinsanan dan kenegaraan, teknologi digital, kreativiti dan inovasi, keusahawanan dan pengantarabangsaan.
Beliau berkata sudah sampai masanya UPSI mencipta legasi baharu dan mencapai impian besar menzahirkan imej sebuah universiti pendidikan yang unggul di negara ini dan peringkat antarabangsa dalam mencapai sasaran sebagai antara 100 universiti terbaik dunia pendidikan menjelang 2030
“Saya percaya sasaran itu bakal tercapai berikutan UPSI
melahirkan ketokohan akademia UPSI tersohor seperti Prof Madya Dr Rozaimie Ramli yang dilantik sebagai Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Prof Dr Md Nasir Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia(FINAS), Datuk Dr Anhar Opir ( Mufti Selangor), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran (Ketua Pegawai Ekskutif Agensi Kelayakan Malaysia ) serta Prof Madya Datuk Dr Junaidi Abu Bakar sebagai Pakar Rujuk Komunikasi Strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Sepanjang tahun lalu, katanya, UPSI mencapai kecemerlangan dalam penyelidikan dan inovasi berikutan berjaya menjana dana geran penyelidikan lebih RM 8.3 juta.
Beliau berkata UPSI harus keluar daripada kepompong lama untuk berani meneroka isu terkini dengan idea baharu bagi memperkasakan pendidikan termasuk bekerjasama dengan Amazon dan Google serta menubuhkan sekolah makmal Neoteric Education Initiative Centre (NICE) sebagai pusat mengembangkan idea pengajaran menjelang Disember.
Katanya, tahun ini UPSI akan membina Residential & Community Centre (URCC) yang mampu menampung 3500 pelajar serta memberi peluang kepada lebih 100 pelajar B40 dan Asnaf menjalankan aktiviti keusahawanan.
Pada majlis amanat yang disampaikan secara hibrid dan disaksikan hampir 19,000 secara dalam talian( FB live) , Md Amin turut melancarkan Buku Pelan Strategik (2021-2025).
Yang hadir sama Orang Besar Jajahan Muallim, Toh Paduka Setia, Datuk Ir. Dr. Safry Kamal Ahmad; ADUN Slim, Mohd Zaidi Aziz; ADUN Behrang, Amirudin Zulkipli; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Puan Sri Rohani Parkash Abdullah; Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Seri Ahmad Burak serta Naib Canselor UNITAR, Prof Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar.