- oleh: Mohd Zaini Samsu Hadi
TANJUNG MALIM – Profesion perguruan tidak seharusnya dijadikan pilihan terakhir dalam pemilihan kerjaya, sebaliknya ia perlu menjadi keutamaan kerana bidang itu boleh menentukan seseorang untuk terlibat menceburi bidang-bidang lain.
Pandangan itu dilontarkan Naib Canselor Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff yang menyatakan, beliau tidak bersetuju dengan tanggapan segelintir masyarakat yang menyifatkan profesion perguruan sebagai pilihan terakhir untuk dijadikan kerjaya.
Ini kerana katanya, bidang perguruan adalah satu kerjaya profesional yang harus dipandang tinggi kerana menerusi profesion berkenaan ia akan mewujudkan individu kepada bidang-bidang lain.
Menurutnya, untuk menjadi guru seseorang itu perlu memiliki jiwa sebagai pendidik dan sifat seperti itu tidak dimiliki oleh semua orang.
“Sehubungan itu guru tidak seharusnya menjadi satu bidang pekerjaan yang terakhir, ia seharusnya menjadi satu bidang kerja profesional dan memerlukan mereka yang benar-benar terlatih, yang benar-benar berminat dan seterusnya mereka yang benar-benar berjiwa guru.
“Saya sangat-sangat tidak bersetuju sekiranya profesion perguruan ini dijadikan sebagai pilihan pekerjaan yang terakhir, ia tidak seharusnya berlaku.
“Mengapa… kerana gurulah yang membentuk siapakah pemimpin akan datang, gurulah yang akan membentuk siapakah jurutera ataupun siapakah doktor pakar.
“Sekiranya guru menjadi acuan yang tidak betul, produk yang akan dihasilkan nanti akan mendatangkan impak yang tidak baik kepada negara,” katanya kepada MalaysiaGazette dalam satu wawancara baru-baru ini. – Malaysia Gazette