- oleh: Muhamad Fakhrullah Bin Farrok (Pegawai Kebudayaan UPSI)
Pusat Kebudayaan Universiti Pendidikan Sultan Idris telah mengadakan satu lawatan muhibbah ke Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) Negeri Perak pada 24 Februari 2022. Lawatan seramai 9 orang kakitangan Pusat Kebudayaan UPSI yang diketuai oleh Pengarah Pusat Kebudayaan UPSI, Dr Muhammad Faisal Ahmad telah disambut oleh Encik Abdul Rashid bin Abdullah, Pengarah JKKN Perak dan semua warga JKKN Perak.
Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk memperkukuhkan hubungan antara Pusat Kebudayaan UPSI dengan JKKN Perak terutamanya dalam membangunkan dan mengembangkan bidang seni budaya. Selain itu, Pusat Kebudayaan UPSI juga ingin mendapatkan amalan terbaik berkaitan pelaksanaan aktiviti kebudayaan yang dianjurkan JKKN, meninjau kemudahan fasiliti, berkongsi pengalaman dan sekali gus meneroka kerjasama dalam penganjuran program strategik berkaitan seni dan budaya antara Pusat Kebudayaan UPSI dan JKKN Selangor
Melalui Strategi dan Pelaksanaan Objektif Kebudayaan Kebangsaan “ Pemulihan, pemeliharaan dan pembangunan kebudayaan ke arah menguatkan asas-asas Kebudayaan Kebangsaan melalui usaha sama penyelidikan, pembangunan, pendidikan, pengembangan dan perhubungan budaya” Pusat Kebudayaan UPSI dan JKKN Perak saling bertukar buah fikiran bagi memperkuat dan memperkembangkan kebudayaan di negeri Perak. Antara cadangan utama untuk direalisasikan adalah kolaborasi melalui jalinan usahasama antara UPSI dan JKKN Perak dalam pelbagai bidang kebudayaan seperti penganjuran persidangan, seminar, latihan, persembahan pentas, staff attachment dan lain-lain lagi dengan matlamat untuk menggalakkan pertumbuhan aktiviti seni budaya kepada golongon sasaran seperti pelajar UPSI khususnya dan juga orang awam sekitar Negeri Perak secara amnya.