Masjid Al-Mursyidin, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mendapat pengiktirafan dari Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) apabila menerima lima bintang bagi Penarafan Masjid Bestari tahun 2021.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff melahirkan kesyukuran atas penarafan yang diberikan kepada Masjid Al-Mursyidin yang diuruskan oleh kakitangan Pusat Islam.
Katanya, masjid berkeluasan lantai 5003.30 meter persegi itu diimarahkan sebaiknya oleh warga UPSI demi kekukuhan dan kerukunan masyarakat kampus selain berperanan sebagai pusat penyebaran Islam dan juga pusat pentadbiran awam.
Beliau berkata masjid bukan sahaja dilihat sebagai tempat beribadat dan membaca al- Quran, namun sebagai pusat kegiatan masyarakat dalam aspek pendidikan, kemasyarakatan, kebajikan serta tempat perhimpunan warga Islam kampus.
Sementara itu Pengarah Pusat Islam, Tarmizi Abdul Rahman berkata penilaian untuk memperolehi penarafan itu adalah berdasar Komponen Pengurusan, Komponen Pengimarahan, Komponen Kemudahan Prasarana serta Komponen Persekitaran yang dipenuhi.
Katanya komponen pengurusan antaranya dinilai dari aspek lantikan ahli jawatankuasa,kekerapan mesyuarat,minit mesyuarat dan fail berkaitan masjid, manakala komponen pengimarahan mengambil kira hal seperti kuliah maghrib dan sambutan kebesaran Islam.
Selain itu kemudahan prasarana pula dilihat dari aspek laluan Orang Kurang Upaya (OKU), kebersihan tandas lelaki dan wanita, dewan solat dan pelbagai kemudahan yang memberi keselesaan kepada ahli Jemaah dan orang ramai.
Beliau berkata masjid yang mula digunakan pada 2012 itu dirasmikan pada 20 Jun 2017 oleh DYMM Tuanku Sultan Perak, Tuanku Raja Nazrin terletak di Kampus Sultan Azlan Shah.
“Masjid ini menerima banyak sumbangan dari warga UPSI serta orang ramai dan tidak lama lagi akan menukar karpet untuk memberi keselesaan jemaah yang menunaikan solat,” katanya.