oleh: Nazrul Azlan Musa (Jabatan Bendahari UPSI)

Tanjong Malim: Selaras dengan seruan Kerajaan ke arah mewujudkan masyarakat tanpa tunai seperti yang dinyatakan di dalam Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia, UPSI telah berjaya melaksana pembayaran tanpa tunai sepenuhnya di seluruh kampus UPSI. Pelaksanaan bayaran tanpa tunai ini telah pun bermula pada tahun 2019 tetapi demi memastikan Universiti dapat menyokong ekonomi digital Malaysia, Naib Canselor UPSI bersetuju agar pembayaran tanpa tunai dilaksanakan sepenuhnya di seluruh kampus UPSI pada tahun 2022 ini.  Bagi merealisasikan hasrat tersebut, UPSI telah memperluaskan kempen tersebut secara agresif kepada semua warga kampus. Pada masa kini, UPSI tidak lagi menerima bayaran secara tunai untuk bayaran yuran, sewaan, denda termasuk pembelian makanan di kafetaria UPSI.

Bagi melestarikan ekosistem kampus tanpa tunai, UPSI dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) telah mengadakan kerjasama yang erat dengan membekalkan terminal-terminal bayaran kepada Pusat Tanggungjawab di UPSI dan pengusaha-pengusaha kafeteria di dalam kampus. Di samping itu, UPSI turut menjalinkan kerjasama dengan pihak pembekal e-wallet seperti Kiplepay dan Boost bagi memberi lebih pilihan bayaran kepada para pelanggan.

Selain itu, UPSI turut menyediakan perkhidmatan bayaran secara atas talian melalui platform ePayment@UPSI bagi memudahkan pelanggan untuk bayaran yuran serta membeli produk dan perkhidmatan yang ada di UPSI.  Bayaran melalui JomPay dan Flywire turut disediakan bagi memudahkan bayaran yuran pengajian dan penyertaaan seminar terutama kepada pelanggan antarabangsa.

Bagi menggalakkan pelaksanaan transaksi tanpa tunai sepenuhnya di dalam kampus-kampus UPSI, bermula 1 Februari 2022 sehingga 30 April 2022, UPSI dengan kerjasama PayNet telah mengadakan ‘Kempen Cashless Campus’ dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik antaranya komputer riba, sijil simpanan tetap, basikal bukit dan tunai. Pelanggan hanya perlu membuat pembayaran melalui kad ATM MyDebit, DuitNow QR, FPX dan JomPAY di mana-mana kaunter pembayaran terlibat termasuk pengusaha kafetaria di UPSI. Paynet (Payments Network Malaysia Sdn Bhd) adalah syarikat di bawah Bank Negara Malaysia yang mengendalikan sistem pembayaran dan infrastruktur kewangan bertaraf dunia.

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)