KITA sering dengar rungutan ibu bapa berhubung permasalah beg berat. Isu ini seringkali dibincangkan apabila musim persekolahan bermula. Namun, apakah penyelesaian dan langkah proaktif Kementerian Pendidikan Malaysia buat masa ini. Pelbagai cadangan diberikan bagi menyelesaikan isu ini. Antaranya penggunaan almari di sekolah (loker), beri penekanan kepada 3M (Membaca, Mengira dan Menulis), semakan jadual waktu oleh pihak sekolah dan penggunaan buku elektronik (Ebook).

Berbekalkan idea pelbagai pihak, KPM telah mengorak langkah dengan menyahut saranan
dan cadangan menerusi penggunaan Ebook iaitu pembangunan aplikasi KPM eTextbook Reader. Aplikasi ini boleh dimuat turun menerusi telefon pintar anda melalui google play untuk versi android, manakala apple store bagi platform iOS. Aplikasi ini juga telah menyediakan beberapa buku teks sekolah rendah dan sekolah menengah. Berdasarkan penelitian saya, ibu bapa hanya perlu mengisi semua maklumat yang diminta seperti nama, no kad pengenalan, lokasi dan sekolah. Perkara yang paling penting disini,
setiap langganan pada aplikasi tersebut adalah percuma. Aplikasi ini juga menyediakan ebook untuk semua subjek mengikut tahap pelajar. Ibu bapa juga perlu muat turun semua ebook mengikut subjek anak-anak berdasarkan jenis sekolah mereka.

KPM eTextbook Reader ini walaupun berbentuk salinan lembut (softcopy) yang bermaksud
reka bentuk atau layout seperti buku tetapi tidak dicetak secara media kertas seperti buku konvensional, namun dari segi paparan ternyata sama sahaja seperti buku pada umumnya. Ia mengandungi paparan muka hadapan, kandungan dan halaman-halaman bermukasurat, ada bahagian kata pengantar, subtopik demi subtopik, nombor halaman, dan sebagainya. Oleh yang demikian itu, para pelajar akan membuka lembaran demi lembaran dengan menggunakan jari di layar peranti elektronik atau peranti digital sama seperti menyelak helaian buku fizikal.

Pembangunan aplikasi ini mendatangkan pelbagai manfaat kepada semua pihak terutama
kepada para pelajar kerana lebih efektif. Ini adalah kerana penulis melihat buku elektronik ini lebih mudah dibangunkan dengan kerjasama pelbagai pihak yang terdiri daripada KPM dan pengeluar. Ia juga mudah dilayari oleh semua pihak termasuk ibu bapa, guru dan pelajar secara percuma, perkongsian melalui e-mel atau media sosial sekali gus menjadikan penyebaran maklumat melalui buku elektronik berkali ganda lebih cepat berbanding buku fizikal. Selain itu, pautan kepada aplikasi ini mudah diakses dan disebarluaskan kepada masyarakt melalui pelbagai medium dan platform seperti laman sesawang dan blog peribadi juga.

Umum mengetahui, aplikasi yang diperkenalkan seawal bulan Januari 2021 dilihat dapat
membantu pelajar menjalani PdPR semasa fasa pendemik tanpa perlu mendapatkan bahan-bahan berkenaan di sekolah. Ini adalah kerana pelajar hanya perlu muat turun buku teks digital daripada telefon bimbit dan peranti masing-masing. Aplikasi ini lebih ringan dan serasi dengan peranti mudah alih jika dibandingkan dengan fail PDF dan dalam masa yang sama, pelajar juga boleh melaksanakan pelbagai aktiviti lain seperti mendapatkan rujukan tambahan, membuat nota dan menbuat penandaan
isi penting seolah-olah mereka menggunakan buku teks cetak.

Selain itu, aplikasi ini memungkinkan para pelajar untuk mengakses buku teks digital melalui telefon pintar dan tablet di luar sekolah atau di mana sahaja, oleh sesiapa sahaja dan pada bila-bila masa tanpa capaian internet setelah ia dimuat turun. Ini dibuktikan melalui statistik KPM yang menunjukkan bahawa aplikasi ini telah menerima lebih sejuta muat turun dengan purata 15 terabait (TB) saiz fail sehari.

Kelebihan aplikasi ini dengan menjadikan buku teks secara elektronik, banyak kos dan masa dapat jimatkan terutama masa yang diluangkan oleh guru-guru skim pinjaman buku teks (SPBT). Ini bermakna bebanan kerja pengurusan guru dapat dikurangkan dan memberikan peluang kepada mereka untuk menumpukan kepada persediaan perancangan pengajaran dan pembelejaran. Kos penyediaan dan percetakan buku teks oleh pihak KPM dapat dijimatkan sehingga hampir 70% perbelanjaan kerajaan.

Selain itu, buku elektronik berformat E-Pub ini adalah sepuluh kali ganda lebih ringan
berbanding format PDF dan boleh diterima oleh kebanyakan platform peranti. Buku-buku teks konvensional adalah bersifat statik sehinggalah ia rosak dan dilupuskan manakala buku teks berformat e-book ini boleh dipelbagaikan teknik dan diprogramkan seperti menghidupkan karakter secara animasi atau tiga dimensi. Ini sedikit sebanyak dapat menarik serta mencambahkan lagi minat belajar dalam kalangan pelajar dan menjadikan mereka lebih teruja untuk menelaah buku teks masing-masing. Jika terdapat kesalahan fakta pada buku teks berkenaan, pihak kementerian boleh memperbaiki dan menambah baik serta merta tanpa perlu melibatkan penggunaan kos cetak yang merugikan.

Seterusnya, penggunaan aplikasi ini juga sangat bersesuaian dengan era pelajar masa kini. Generasi hari ini berada dalam era revolusi digital di mana mereka membesar seiring pemerkasaan penggunaan komputer, internet, carian google, youtube, media social dan lain-lain lagi. Implementasi teknik pembelajaran abad ke-21 oleh pihak KPM kepada golongan ‘Digital Natives’ ini sangat bersesuain dan didapati sangat berkesan setelah mengambil kira keseimbangan antara keperluan PdP dan peredaran dunia masa kini. Kandungan aplikasi textbook ini juga boleh dipelbagaikan dan disesuaikan berdasarkan profil pembacanya dengan menjadikan helaian subtopic atau bab dan tab tambahan boleh diubah secara fleksibel berdasarkan kategori pelajar. Contohnya pelajar yang mempunyai gaya pembelajaran secara visual, boleh menggunakan akses tambahan kepada capaian-
capaian visual atau audio.

Aspek yang paling menarik dalam aplikasi textbook ini adalah ia tidak bergantung kepada
capaian internet sepanjang masa kerana apabila ia telah dimuat turun, ini bermakna para pengguna boleh menggunakan buku teks ini pada bila-bila masa dan yang lebih menarik lagi, para pelajar juga memuat turun buku teks ini daripada peranti guru melalui sambungan yang ada di peranti mereka sahaja seperti bluetooth. Pelajar akan berasa teruja untuk menggunakan buku teks digital kerana sudah interaktif bahkan mereka sudah pasti akan menggunakan dan membudayakannya sepanjang masa.

Mohd Afifi Bahurudin Setambah
Pensyarah Kanan
Universiti Pendidikan Sultan Idris

– Malaysia Gazette

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)