oleh: Nor Hayati Aziz
CHERAS, SELANGOR – Pusat Ulul Albab, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) menerima undangan mengadakan program Motivasi Kecemerlangan SPM 2022 dengan kerjasama Madrasah Cheras Perdana (MCP) pada 5hb hingga 6 Ogos 2022. Program ini dirancang bagi tujuan meningkatkan kecemerlangan akademik anak-anak di Cheras Perdana. Ia melibatkan 39 orang pelajar Sekolah Menengah Cheras Perdana dan dikendalikan oleh 8 orang ahli Kelab Sahabat Ulul Albab.
Pengisian Program banyak memberi tumpuan kepada kesedaran menuntut ilmu, pembinaan karakter dalam adab dan akhlak serta kecemerlangan akademik. Banyak aktiviti menguji minda diterapkan sepanjang program berlansung. Peserta juga diisi dengan slot Qiamullai supaya peserta dapat muhasabah kekuatan diri masing-masing dan mewujudkan keikhlasan serta kejujuran dalam beramal dan menuntut ilmu.
Menurut Wan Mahmood Wan Harun, Setiausaha MCP, program selama dua hari ini diharapkan dapat memberi motivasi dan semangat baru kepada peserta terutamanya yang bakal menghadapi peperiksaan SPM nanti. Sepanjang program ini berlansung peserta menunjukkan semangat yang kuat, berdisiplin dan sangat proaktif.
Prof. Dr. Abdul Halim Ali dalam ucapan penutup mengharapkan supaya program sebegini dapat diteruskan lagi dan penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran anak-anak dapat memberi motivasi serta sokongan moral ibu bapa akan dapat meningkatkan potensi pembelajaran anak-anak.