Oleh : Mohd Fahmi Mohd Yunus (Pusat Kebudayaan)

Tanjong Malim 28 Januari – Pusat Kebudayaan UPSI (PUSKEB) baru-baru ini telah menganjurkan program Hiruk Pikuk PUSKEB 2023 sempena hari terbuka pusat tanggungjawab berkenaan.

Bermula sekitar jam 8.00 pagi, program hari terbuka itu dibuka dengan slot Sihat PUSKEB yang berlangsung di Bulatan Dewan Tuanku Canselori, Kampus Sultan Azlan Shah dikelola Kelab Tari Staf UPSI (KESAKTI).

Persembahan teater oleh SMK Jelai telah berjaya memukau penonton

Program diteruskan dengan slot Pertandingan Permainan Tradisional yang mempertandingkan tiga jenis permainan iaitu batu seremban, congkak dan baling getah yang berlangsung sekitar ruang legar lobi Panggung Percubaan.

Pertandingan Peragaan Busana Tradisional pula berlangsung sekitar jam 9.00 pagi dan berakhir jam 11.40 pagi di Pentas Utama, Panggung Percubaan. Terdapat pelbagai busana pakaian tradisional digayakan kepada para pengunjung yang merangkumi pelbagai etnik majmuk di Malaysia.

Pada masa yang sama, pelbagai lukisan karikatur turut dipamer dan serta gerai jualan di reruai sekitar bulatan Dewan Tuanku Canselor malah, para pengunjung turut dihiburkan dengan santapan muzik akustik oleh kumpulan muzik daripada Kelab Kombo Muzik UPSI.

Para pengunjung juga berpeluang turut sama mengasah bakat menyanyi bersama band iringan.

Bukan itu saja, Hari Terbuka PUKEB turut menampilkan slot Teaterikal Ria iaitu pelbagai persembahan yang menarik oleh bakat-bakat ahli kelab yang bernaung di bawah PUSKEB dan pelajar UPSI antaranya persembahan gamelan oleh Kelab Gamelan Margamas UPSI, tarian oleh Kelab Destar Limar dan dikir barat oleh Kelab Dikir Barat Warisan Cenderawasih.

Kelab Dikir Barat Warisan Cenderawasih UPSI
turut membuat persembahan dalam slot Teaterikal Ria

Turut mengisi slot pada petang tersebut adalah teater Bitara Sakti dari SMK Jelai, nyanyian oleh Darwisyah, Imran Abdullah dan Awish. Para penonton juga disajikan dengan persembahan monodrama oleh seorang penggiat seni lakon dan juga komposer puitis Sani Sudin.

Kemuncak Hari Terbuka PUSKEB menampilkan Konsert Hiruk Pikuk PUSKEB yang dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Profesor Dr. Norkhalid Salimin serta pelancaran kad keahlian PUSKEB Mate.

Pelancaran Puskeb Mate yang disempurnakan oleh
Timbalan Naib Canselor (HEPA) Profesor Dr. Norkhalid Salimin

Seterusnya panggung dibuka dengan pelancaran lagu tema Pusat Kebudayaan yang berjudul Terbang Bersama merupakan karya Anuar Borhan (Ah Hoi) dan lirik oleh Pengarah PUSKEB, Dr. Norzuraina Mohd Nor.

Pengarah PUSKEB, Dr Norzuraina dalam kenyataannya memanjatkan rasa gembira apabila program Hiruk-Pikuk PUSKEB mendapat sambutan dari kalangan warga UPSI.

“Menariknya sepanjang Hiruk-Pikuk PUSKEB berlangsung, kita dapat lihat sendiri bagaimana terujanya warga universiti menyertai setiap aktiviti yang kita laksanakan, sekaligus dapat mencungkil bakat-bakat baru serta memberi peluang kepada pelajar untuk menyertai aktiviti kebudayaan berdasarkan minat, kecenderungan dan kebolehan mereka,” jelasnya lanjut.

Seterusnya persembahan dimeriahkan lagi dengan persembahan puisi Johan Pertandingan Sayembara Puisi membawakan puisi hasil nukilan beliau sendiri iaitu “Kau Yang Menikam, Kau Yang Berdarah” FESTKUM 2022 Elvienie Petrus, dan puisi daripada pelajar antarabangsa Chen Xu, mendendangkan dua buah lagu iaitu Zapin Budi dan sebuah lagu balada Bahagiamu Deritaku oleh Hafiz Suip.

Kemuncaknya, persembahan Konsert Hiruk Pikuk PUSKEB pada malam tersebut diakhiri dengan persembahan penyanyi jemputan yang sinonim dengan lagu-lagu berentak balada popular tahun 90’an iaitu Ameng Spring, turut diiringi kumpulan muzik daripada PUSKEB sendiri, The Pegawai Band. – ePena

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)