foto: Unit foto Bahagian Komunikasi Korporat
video: Noraini Aminuddin
TANJUNG MALIM – Berhasrat memperkasa penjenamaan dan memperkukuh lagi nama pusat pengajian pendidikan terulung tanahair, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini menganjurkan Bengkel Event Executive, U-Media dan Media Baharu di ibunegara.
Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, bengkel yang berlangsung sekitar tiga hari itu dianjurkan Bahagian Komunikasi Korporat bermula 22 hingga 24 Februari yang lalu bertempat di Hotel The Pearl Kuala Lumpur telah dihadiri seramai 93 orang peserta mewakili setiap Jabatan di UPSI bagi memantapkan lagi pengetahuan dan ilmu dalam bidang yang berkenaan.
Para peserta telah dilantik daripada setiap pusat tanggungjawab yang kemudiannya dibahagikan kepada tiga kumpulan Pegawai U-Media UPSI, Pegawai Media Baharu UPSI dan Eksekutif Pengurusan Acara UPSI.
“Para pegawai U-Media misalnya, didedahkan dengan selok belok penulisan berita yang berkesan oleh pakar dalam industri sendiri seperti editor akhbar tempatan, penggunaan gambar bersesuaian dalam penyediaan bahan hebahan media dan pembangunan portal pendidikan E-Pena terbitan UPSI,” jelasnya semasa ucapan aluan dalam Majlis Apresiasi Media bersama UPSI 2023 yang turut dianjurkan pada 23 Februari lalu dilokasi sama.
Menurut Pengarah BKK, Profesor Madya Dr. Mohd Izwan Shahril, dengan adanya bengkel tersebut, peserta terpilih yang datangnya dari pelbagai latar belakang jabatan meliputi pensyarah, pentadbir, pembantu tadbir dan lain-lain peringkat jawatan di beri peluang dan penghargaan mewakili Jabatan untuk mengikuti bengkel yang diadakan bertujuan untuk membantu dalam memperluaskan lagi aktiviti mempromosikan program yang dijalankan di peringkat Jabatan masing-masing untuk hebahan dan pengetahuan umum menerusi pelbagai medium yang disediakan.
“Selain Bengkel U-Media, Bengkel Media Baharu padat dengan pengisian dan pendedahan bagaimana menggunakan platform Tik Tok pegawai media Baharu oleh para pempengaruh terkenal manakala Bengkel Event Executives merupakan perkongsian ilmu yang lebih khusus untuk menambahkan kemahiran dan mempertingkatkan kebolehan dalam pengurusan korporat para pegawai yang terlibat” jelasnya lanjut. – ePena.