oleh: Afifah Adriana Aznan (Pegawai U-Media UCTC)
Bidor, 20 Mei 2023 – Bersempena ulang tahun ke-39 AEON Co. (M) Bhd., Persatuan Rakan Pusat Transformasi Komunti Universiti (RUCTC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyambut baik hasrat AEON Co. (M) Bhd. dalam melestarikan alam sekitar melalui Program Malaysia-Japan Friendship Forest di Stesen Penyelidikan FRIM, Bidor, Perak.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof. Madya Dr. Muhammad Aqil Aryan Wong berkata seramai 40 orang sukarelawan dari Persatuan RUCTC bersama sukarelawan dari universiti awam lain memberi sokongan kepada program Aeon dalam menjalankan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) melalui penanaman pokok yang dirasmikan oleh Yang Berhormat Teh Kok Lim, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau pagi tadi.
“AEON berbesar hati untuk menanam 3,900 spesies alam semula jadi hutan dengan jumlah 900 sukarelawan hari ini. Ini adalah inisiatif ke-3 mereka sejak ditubuhkan pada tahun 2014,” jelasnya ketika ditemui.
Sementara itu, menurut Pengarah UCTC, Prof. Madya Dr Mohd Azlan Nafiah program yang dianjurkan AEON Co. (M) Bhd. dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Kementerian Perpaduan Negara (KPN) ini dijalankan sebagai salah satu usaha bagi melestarikan alam semulajadi di samping menyokong usaha kerajaan dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar yang merupakan khazanah negara.
“Program penanaman pokok nadir yang merupakan pokok buah-buahan seperti mangga, manggis, rambutan dan nangka juga turut dilaksanakan oleh 21 orang sukarelawan di Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI”, ujarnya.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Norkhalid Salimin menyatakan aktiviti menanam pokok yang disertai ini merupakan satu keperluan yang wajar dan dilihat dapat membantu mengekalkan kualiti serta memulihkan fungsi ekologi negara.
Dalam pada itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata pelaksanaan program ini bertepatan dengan salah satu rukun Malaysia MADANI iaitu kemampanan, yang menghasratkan kesejahteraan dan keseimbangan dengan pengertian saling menghormati serta mengasihi sesama manusia dan alam sekitar termasuk haiwan dan tumbuhan.
“Di kesempatan ini saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada pihak UCTC dan semua sukarelawan dari Persatuan RUCTC UPSI kerana mengambil peluang menyertai program sebegini dan berharap ia tidak terhenti setakat ini sebaliknya menjadi ikutan kepada persatuan mahasiswa lain untuk terus menyumbang kepada pemerkasaan aspirasi kerajaan Malaysia menjayakan agenda penghijauan Malaysia dengan menanam 100 juta pokok di seluruh negara menjelang tahun 2025,” jelasnya dalam suatu kenyataan. – ePena
Turut disiarkan di: Buletin Utama TV3