oleh: Nur Auni Wajihah Yusri,& Wan Aisyatul Nazifah Wan Hanif
TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) dan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) telah menganjurkan Program Khidmat Komuniti Pusat Sumber bertempat di Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim (SKTM) yang berlangsung pada 03 Ogos 2023.
Program ini dikendalikan oleh Exco Kesukarelawanan Komuniti dan Kemanusiaan dengan kerjasama Exco Kebajikan dan Kerohanian, Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus (MMKLK) yang terbahagi kepada dua bahagian iaitu Kem Kepimpinan Pengawas Pusat Sumber melibatkan 27 orang peserta dan Kelestarian Pusat Sumber yang melibatkan kerja-kerja penambahbaikan laluan dan dinding Pusat Sumber.
Peserta bergambar kenang-kenangan bersama guru besar dan barisan AJK pelaksana program
Ketika berucap sewaktu merasmikan program ini, Guru Besar SKTM, Encik Abu Yazid Jaafar berkata “Program ini banyak memberi pendedahan serta manfaat kepada pelajar, khususnya Pengawas Pusat Sumber melalui pelbagai aktiviti yang dilaksanakan di samping membantu dalam memperluas fungsi pusat sumber sekolah sebagai pusat rujukan pelajar dan orang awam”.
Beliau menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada UKLK dan UCTC, UPSI atas kesudian memilih Pusat Sumber SKTM untuk pelaksanaan program ini, serta berharap agar program berbentuk Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini dapat diteruskan lagi demi pendidikan anak bangsa. “Semoga program berbentuk CSR ini dapat dijadikan magnet bagi menarik minat lebih ramai peserta pada masa akan datang kerana ia memupuk pelbagai impak yang positif dalam diri mahasiswa dan komuniti masyarakat,” ujar beliau.
Slot aktiviti bersama pengawas pusat sumber SKTM
Terdahulu pengarah program, Hurul Iffah Mashitah Mursidi dalam ucapannya berkata selain berperanan dalam menambah baik prasarana pusat sumber, objektif program ini adalah berkongsi ilmu pengetahuan berkaitan tugas dan peranan sebenar Pengawas Pusat Sumber sekolah, amalan kerja berpasukan yang baik serta memberikan nasihat dalam memperkasa pusat sumber ke arah pembelajaran abad ke-21.
Dengan pelaksanaan program ini, adalah diharapkan supaya ianya menjadi langkah pertama dalam memperkasakan peranan pusat sumber dalam menyediakan maklumat, perkhidmatan dan peluang bagi memperkukuh pengajaran dan pembelajaran untuk penguasaan kemahiran asas serta kemahiran maklumat pendidikan ke arah pembentukan masyarakat berbudaya ilmu dan gemar membaca.
Guru Besar SKTM, Encik Abu Yazid Jaafar