Oleh: Sumaiyah Adanan (Timb Exco Tugas – Tugas Khas, Persatuan Pendidikan Islam 22/23)

Felda Besout, Sungkai – Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di bawah Persatuan Pendidikan Islam telah menjalankan program Great Leaders Start Here di Sekolah Kebangsaan Besout 4, Sungkai, Perak pada 24 Mei 2023 yang lalu. Program ini telah dilaksanakan dengan kerjasama Fakulti Sains Kemanusiaan dan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC).

Program Great Leaders Start Here ini merupakan sebuah kem kepimpinan yang dijalankan kepada para pelajar tahap 2 Sekolah Kebangsaan Besout 4, Sungkai, Perak. Program ini hanya berlangsung selama sehari dari pagi sehingga petang dengan pelbagai pengisian menarik yang berbentuk aktiviti bergerak dalam kumpulan. Program yang dilaksanakan ini adalah bersesuaian dengan objektif pihak sekolah yang mana ingin memberikan pendedahan kepada murid tentang menyeimbangkan diri sebagai seorang muslim dan kepimpinan sebenar. Pada awal perancangan sebelum program berlangsung, perjalanan aktiviti dalam kumpulan dilakukan secara ‘outdoor’ iaitu bergerak dari sebuah tempat ke sebuah tempat, namun terdapat beberapa halangan di mana pada waktu tersebut isu kesihatan strok haba dalam kalangan kanak-kanak sedang berleluasa di Malaysia. Oleh itu, aktiviti yang dirancang hanya dijalankan dalam bentuk ‘indoor’ di dalam sebuah dewan sekolah tersebut.

Setiap aktiviti yang telah dilaksanakan itu adalah dengan merujuk kepada modul yang dibina berdasarkan beberapa elemen kepimpinan yang berkaitan. Pelbagai aktiviti yang telah disusun mengikut objektif yang perlu dicapai dari mula aktiviti hingga akhir program. Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti train your inner dragon, creative thinker, dan saya perlukan dia yang mana mempunyai pengisian konten yang lebih kepada memupuk sifat-sifat yang perlu ada di dalam diri seseorang pemimpin. Hal ini adalah bersesuaian dengan objektif program yang perlu dicapai iaitu bagi mewujudkan budaya kepimpinan yang terbaik dalam kalangan pimpinan pelajar di sekolah (SDG 4: Pendidikan Berkualiti).

Slot 2 : Creative Thinker
Slot 3: Saya perlukan dia

Bagi merealisasikan hasrat pihak sekolah untuk menambah kemahiran murid dalam mengendalikan majlis disekolah, maka kami telahpun melatih salah seorang dari kalangan murid untuk mengendalikan majlis penutup program. Murid terlibat dalam menjadi pengacara majlis serta ahli jawatankuasa pengurusan tempat. Perkara ini adalah bertetapan dengan objektif program ini iaitu untuk memberikan pendedahakan kepada pimpinan pelajar tentang tanggungjawab dalam mengendalikan majlis di sekolah (SDG 9: Industri, Inovasi, dan Infrastruktur).

Ucapan pengarah program
Guru Besar dan barisan guru penolong kanan

Turut disertai bersama pada Majlis Penutupan Program Great Leaders Start Here iaitu Guru Besar serta barisan guru penolong kanan sekolah SK Besout 4, Sungkai. Majlis penutup telah dirasmikan oleh Cikgu Noridah Misran selaku Guru Besar.

Di dalam ucapan, beliau menyatakan perasaan besar hati akan kedatangan kami ke sekolah bagi membantu membimbing serta berkongsi pengalaman kepada para pelajar. Beliau juga amat mengalu-alukan kedatangan kami pada masa akan datang untuk terus menyumbang bakti dalam menyebarkan manfaat kepada masyarakat terutamanya kepada masyarakat yang menetap di kawasan pedalaman.

Kata beliau “program seperti ini perlulah diperluaskan lagi terutamanya bagi pelajar yang bakal menjadi guru pada masa akan datang. Pengalaman dan peluang ini perlulah direbut bagi memastikan keberkesanan setiap guru pada masa akan datang”.

Penyampaian sijil dan hadiah

Program diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah kepada peserta serta penyampaian sijil kepada ahli jawatankuasa program yang terlibat oleh pihak sekolah. Pihak penganjur program ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama yang dberikan dalam menjayakan program ini. Diharapkan dengan pelaksanaan program ini dapat memberikan manfaat baharu dalam membentuk pemimpin yang cemerlang pada masa akan datang.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)