Oleh: Ellwin A/L Savari Nathan

KAHS UPSI, 10 Mac 2024: Seramai 22 orang pelajar termasuk seorang felo pengiring menyertai aktiviti Meneroka Belantara Bukit Berekeh Edition bertempat di Sungai Siput, Perak. Program ini telah dianjur dengan jayanya oleh Exco Sukan dan Rekreasi Majlis Mahasiswa Kolej (MMK) Awang Had Salleh (KAHS) Sesi 2023/2024 yang bertujuan untuk memberi kesedaran terhadap alam sekitar dengan membangunkan kepekaan terhadap isu-isu alam sekitar dan mendorong sikap tanggungjawab terhadap pemeliharaan alam. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup sihat dengan pengalaman aktiviti mendaki bukit yang memerlukan kecergasan fizikal.

Mendaki bukit atau gunung adalah kombinasi olahraga dan kegiatan rekreasi yang mampu mencabar stamina seseorang dengan mengatasi tentangan dan bahaya pada lereng dan jurang untuk mendapatkan pemandangan yang indah dari puncaknya. Aktiviti ini juga sekaligus dapat membakar kalori dengan banyak kerana membabitkan latihan kardio.

Aktiviti Pendakian Bukit Berekah Edition ini telah dirancang selama sebulan oleh Exco Sukan dan Rekreasi MMK KAHS sebelum diluluskan oleh pihak pengurusan KAHS. Pendakian Bukit Berekeh di Sungai Siput Perak selama 3 jam bermula jam 2.30 pagi sehingga 5.30 pagi diketuai oleh Muhammad Hanif yang merupakan jurupandu arah. Sebelum aktiviti pendakian bermula, semua peserta telah diberi taklimat pendakian dan keselamatan oleh jurupandu tempatan yang berpengalaman untuk merentasi laluan di kebun kelapa sawit, hutan tebal dan lereng-lereng bukit.

Setibanya di puncak Bukit Berekeh adalah satu kejayaan besar dalam misi mendaki tersebut. Semua peserta sangat berpuas hati dengan aktiviti pendakian bukit ini sekaligus dapat mengatasi akrofobia iaitu fobia ketinggian yang dialami oleh sesetengah peserta. Bagi peserta yang memiliki kurang dari segi kekuatan dalaman, mereka mungkin perlu berjalan dengan perlahan dan mengambil masa untuk berehat. Namun begitu, yang paling penting ialah mereka semua berjaya sampai di puncak dan berusaha melakukan yang terbaik bagi diri mereka, tanpa mengira berapa lama waktu yang diperlukan atau cara yang digunakan.