Tanjong Malim- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan program kemasyarakatan dengan menghulurkan bantuan persekolahan kepada murid-murid Orang Asli di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Bersih, Slim River, Perak baru-baru ini.

Program Kembali ke Sekolah itu dianjurkan dengan kerjasama Yakult, Pusat Pendidikan Daerah Mualim dan Pusat Kesihatan Muallim dalam usaha memastikan murid-murid Orang Asli tidak tidak mengalami keciciran dan dapat belajar dengan sejahtera di sekolah.

Pengetua Kolej Harun Aminurrashid UPSI, Dr. Che Anuar Che Abdullah berkata, program tersebut bertujuan memupuk perpaduan di antara UPSI dan masyarakat Orang Asli khususnya di negeri Perak.

“Program sebegini dapat melahirkan rasa tanggungjawab sosial untuk bersama memberikan sesuatu yang bermanfaat dalam komuniti setempat.

“Sikap ambil peduli dan ganding bahu perlu kita tanam untuk membangun masyarakat madani dan menerajui kecemerlangan intelek bagi anak-anak Orang Asli,” katanya semasa pelancaran program itu di SK Pos Bersih, Slim River baru-baru ini.

Hadir sama Guru Besar SK Pos Bersih, Mohd Shah Md Nor.

Program kesedaran kesihatan turut diadakan

Che Anuar berkata, dengan kepakaran dalam pelbagai bidang, sudah pasti UPSI akan terus bersama masyarakat untuk membangunkan pendidikan yang berkualiti tanpa menilai latar belakang, kaum dan nilai perbezaan.

“Kelestarian dalam menghidupkan kecemerlangan pelajar dari kalangan Orang Asli menjadi tanggungjawab bersama dan semua pihak perlu memainkan peranan untuk meningkatkan kualiti pendidikan yang ada di daerah pedalaman,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shah menzahirkan rasa syukur dan gembira apabila UPSI dan rakan kolaborasi hadir ke sekolah dan membawa warna baharu dalam suasana persekolahan anak Orang Asli.

“Melihat kerjasama ini, membuatkan kami warga pendidik akan berusaha memberikan yang terbaik dalam menyediakan pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” katanya.

Dalam program tersebut, murid Orang Asli diberi pendedahan berkaitan kebersihan diri, kesihatan tubuh badan dan imunisasi dalam mengelakkan diri daripada terkena penyakit berjangkit.

Dalam pada itu juga, seramai 14 anak Orang Asli yang terpilih menerima sumbangan alat persekolahan dan suntikan motivasi bersemangat hadir ke sekolah. – Edisi 9

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)