Tanjong Malim, 24 Mei 2026 – Program EXIST ‘26: “Ekspo Inovasi, Sains dan Teknologi” di bawah anjuran Exco Media dan Publisiti, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid sidang 2025/2026 Universiti Pendidikan Sultan Idris merupakan salah satu platform aspirasi yang efektif kepada pelajar sekolah, mahasiswa, komuniti awam dan pakar industri dalam meneroka bidang STEM melalui pengisian yang holistik dan selari dengan Revolusi Industri 4.0. Fokus utama program adalah untuk memperkukuh budaya inovasi dan memperkenalkan penggunaan teknologi terkini seperti Kecerdasan Buatan (AI) dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, program ini turut menekankan elemen inklusif melalui penglibatan komuniti neurodiversiti dan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dengan kerjasama Pusat Kajian Inklusif Bagi Komuniti dan Orang Kurang Upaya (CIRCLE), UPSI. Pendekatan ini dilihat mampu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan inovasi yang mesra komuniti dan inklusif. Program ini telah dijalankan dari 1 April 2026 hingga 24 Mei 2026 yang bertempat di Dewan Utama SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan secara dalam talian.



Program EXIST ‘26 telah dimulakan dengan penganjuran International AI-Future Competition (IAFC) yang berlangsung dari 1 April 2026 hingga 9 Mei 2026 secara dalam talian melalui platform Tiktok dan Instagram. Pertandingan berskala global ini berjaya menarik penyertaan luar biasa seramai 1,313 orang peserta terdiri daripada para pelajar, industri dan orang awam dari seluruh Malaysia serta peringkat antarabangsa. Pertandingan ini bertujuan untuk memberi ruang kepada peserta bagi menzahirkan kreativiti dan pemikiran inovatif melalui penggunaan teknologi digital. Sambutan yang memberangsangkan ini telah membuktikan bahawa bidang AI semakin mendapat perhatian sebagai salah satu bidang yang bakal mencorakkan pembangunan negara pada masa hadapan.
Selaras dengan usaha untuk memperkasakan budaya inovasi dalam kalangan masyarakat, program diteruskan dengan pertandingan INNOXIST: “Teknologi Inklusif, Masa Depan Progresif” yang menghimpunkan penyertaan daripada 14 kumpulan daripada institusi pengajian tinggi, kolej vokasional dan sekolah menengah bermula dari 14 April 2026 hingga 14 Mei 2026. Pertandingan ini dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori A, (Teknologi Bantuan Fizikal dan Mobiliti) dan kategori B (Permainan dan Simulasi Inklusif).



Sebanyak tujuh kumpulan yang berjaya terpilih ke peringkat akhir dan sebuah kumpulan dianggotai oleh pelajar Orang Asli. Pada peringkat akhir, setiap kumpulan perlu membentangkan idea mereka secara Live Pitching di hadapan panel penilai profesional yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Husniza binti Husni (Universiti Utara Malaysia) dan Encik Muhammad Ashraf bin Azrul (Smart College) bertempat di Dewan Utama SITC, UPSI. Sebagai tanda penghargaan terhadap usaha para peserta, hadiah pertandingan telah ditaja oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA) dalam bentuk plak penghargaan dan medal.
Selain itu, penganjur turut menitikberatkan aspek kesihatan dan kesejahteraan komuniti menerusi program larian inklusiviti NEURORUN: “Every Step Matters, Every Ability Belongs” yang bertempat di Padang Kawad, UPSI. Program larian santai yang diadakan pada 23 Mei 2026 telah disertai oleh seramai 300 orang peserta dan dibahagikan kepada dua kategori iaitu 3 KM Fun Walk dan 5 KM Fun Run. Program ini merupakan salah satu langkah yang diambil sebagai simbol sokongan terhadap kesedaran komuniti inklusif.


Pada 23 Mei 2026 juga telah berlangsungnya Slot Sembang Santai: “Kreativiti Manusia VS Kepintaran Teknologi AI” di Dewan Utama SITC, UPSI yang membawa perkongsian idea dan perbincangan mengenai inovasi, teknologi serta isu-isu semasa. Isu hangat dan realistik ini telah dikupas secara mendalam dari dua perspektif yang berbeza oleh barisan panel iaitu YBrs. Dr. Mohd Fadhil Harfiez bin Abdul Muttalib, Pensyarah Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi UPSI dan YBrs. Dr. Mohd Ekram Al Hafis bin Hashim, Ketua Jabatan Multimedia Kreatif, Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif UPSI. Sesi forum ini telah dikendalikan oleh moderator, Saudara Muhammad Irfan Aiman bin Abdul Muqtadir iaitu Naib Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar UPSI.
Program ini telah dimeriahkan lagi dengan Slot Penampilan Khas oleh artis jemputan, Nazu dan Zaki Yamani yang berjaya menarik perhatian para pengunjung. Keseluruhan persembahan tersebut ditaja sepenuhnya oleh Lay’s Stax Malaysia. Pihak Lay’s turut memberikan produk mereka secara percuma kepada para pengunjung yang hadir termasuk penyediaan booth khas syarikat berkenaan sepanjang program berlangsung. Sokongan pihak industri ini telah membuktikan bahawa kerjasama yang strategik antara sektor koprat dan institusi pendidikan mampu memberikan nilai tambah dalam penganjuran program berskala besar.


Di samping mengetengahkan kreativiti dan bakat peserta menerusi pertandingan inovasi, penganjur turut melaksanakan beberapa aktiviti yang berteraskan tanggungjawab sosial dan kelestarian alam sekitar. Antaranya ialah program derma darah yang membuka ruang untuk orang ramai bagi menyumbang kepada bekalan darah negara dan kempen menjual minyak masak terpakai dengan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengurusan sisa yang lebih sistematik dan mesra alam. Aktiviti-aktiviti ini secara tidak langsung telah membuktikan bahawa program yang dianjurkan bukan sahaja memberi manfaat dari sudut pendidikan tetapi turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.
Kesimpulannya, program EXIST ‘26: “Ekspo Inovasi, Sains dan Teknologi” telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya serta mencapai objektif yang telah ditetapkan. Program ini bukan sahaja menjadi platform pengembangan ilmu dan inovasi, malah berjaya memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan STEM, teknologi AI dan inovasi inklusif. Penganjuran program ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai medium yang mampu melahirkan masyarakat yang progresif, kreatif dan celik teknologi sejajar dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0 serta aspirasi negara dalam memperkasakan pembangunan teknologi dan inovasi.
