Disediakan oleh: Floria Ivy Jupilin, Dayangku Siti Aisyah
Kolej Vokasional Slim River, 21 Mei 2026 – Membina masa depan yang gemilang bermula daripada keputusan yang tepat dan bimbingan strategik adalah kunci utama untuk merealisasikan potensi tersebut. Atas dasar tanggungjawab sosial tersebut, Program Edufuture: Menelusuri Masa Depan Misi Pendidikan telah berjaya dijalankan bertempat di Kolej Vokasional (KV) Slim River, Perak. Usaha murni ini merupakan susunan komitmen daripada Exco Akademik dan Intelektual, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (MMKUO), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi Sidang 2025/2026.
Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk memberikan pendedahan awal yang menyeluruh tentang hala tuju pendidikan tinggi serta latihan kemahiran selepas tamat alam persekolahan, terutamanya pasca Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Bagi memastikan penyampaian maklumat tidak terlalu formal, program dimulakan dengan aktiviti “Explore Pendidikan” yang memanfaatkan sepenuhnya kemudahan di sekitar KV Slim River. Pendekatan santai sambil belajar digunakan sepenuhnya agar dapat menarik minat dan tumpuan para peserta secara semula jadi.


Slot suai kenal “Breaking the Barrier” menjadi aktiviti pembuka yang berjaya meruntuhkan tembok komunikasi serta membina keyakinan diri dalam kalangan remaja melalui bimbingan interaktif fasilitator UPSI. Aktiviti “Explorace Pendidikan” turut dijalankan sebagai medium pendedahan praktikal yang menguji kecekapan penyelesaian masalah, kerja berpasukan dan pemetaan laluan akademik ke peringkat universiti, politeknik, kolej komuniti serta institusi latihan vokasional. Kombinasi kedua-dua aktiviti ini bukan sahaja berjaya memindahkan maklumat strategik mengenai peluang pendidikan secara santai malah memberikan impak besar dalam membina minda yang berdaya saing dan celik hala tuju bagi menghadapi fasa pasca-persekolahan.
Majlis Penutupan Rasmi program telah disempurnakan oleh Pengarah Kolej Vokasional Slim River, Puan Hajah Zulinah Jemon. Melalui ucapan penutupan beliau, beliau menekankan kepentingan penyediaan pasaran kerja masa kini yang menuntut keseimbangan dinamik antara kecemerlangan akademik, penguasaan soft skills, serta kecekapan teknikal. Beliau turut menzahirkan harapan tinggi agar program berimpak seumpama ini mampu menjadi pemangkin motivasi untuk pelajar terus mengorak langkah mendepani cabaran industri global. “Pendedahan awal melalui aktiviti interaktif hari ini merupakan langkah strategik dalam membentuk modal insan yang rintang cabaran”.


Secara keseluruhannya, Program ini telah mencapai matlamatnya yang lebih besar, iaitu menyalakan api harapan dan keyakinan dalam jiwa generasi muda. Inisiatif ini membuktikan bahawa apabila peluang dan bimbingan diberikan dengan betul, tiada apa yang mampu menyekat potensi sebenar anak bangsa untuk berjaya. Diharapkan impak positif yang dibawa ini akan terus menjadi pencetus semangat buat seluruh pelajar yang terlibat.

