Oleh: Sanggu Liew Zhi Yii & Syrelyn Anak Misol
Felda Gunung Besout 1, 24 Mei 2026 – Berpaksikan semangat keprihatinan yang membara serta aspirasi membina komuniti lestari yang sejahtera, “KUO Warriors: Menghulur Kasih, Menyuluh Harapan” anjuran Exco Prihatin dan Kesejahteraan Sosial, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar Sidang 25/26, Universiti Pendidikan Sultan Idris telah berjaya dilaksanakan dengan memberi impak yang signifikan terhadap aspek kelestarian, kesihatan, kecergasan, kebajikan serta pengukuhan hubungan silaturahim bersama penduduk Felda Gunung Besout 1.



Inisiatif kecergasan dan kelestarian persekitaran yang diadakan bertujuan memupuk gaya hidup sihat dan keakraban komuniti melalui tiga aktiviti utama bersama penduduk kampung iaitu sesi pemanasan badan Fit & Fun: Jom Senamrobik! untuk kesedaran kesihatan, acara Walk & Connect: Jom Keliling Kampung bagi mengeratkan interaksi antara mahasiswa dan warga peneroka, serta aktiviti gotong-royong membersihkan sekitar gelanggang futsal demi menyediakan fasiliti sukan yang lebih bersih, ceria dan selamat untuk belia setempat.
Selain daripada aktiviti fizikal, teras utama program ini adalah berorientasikan kesejahteraan sosial dan bantuan sara hidup menerusi tiga pengisian serentak yang berjalan sepanjang program iaitu Check & Care: Saringan Kesihatan Komuniti yang menawarkan sesi pemeriksaan kesihatan percuma bagi membolehkan penduduk memeriksa tahap kesihatan semasa mereka. Selain itu, terdapat juga slot Sukan Rakyat, iaitu acara sukan tradisi yang menggamit memori sekaligus merapatkan jurang generasi antara golongan muda dan tua dalam suasana yang harmoni. Manakala Saji Prihatin @ Felda Gunung Besout & Prihatin Care, yang melibatkan penyediaan makanan secara rewang serta pengagihan kit prihatin berupa bakul makanan kepada keluarga yang memerlukan demi meringankan beban sara hidup mereka.



Ucap Pengarah Program, Dayangku Siti Aisyah Pg Ali Mudin dalam ucapan alu-aluan majlis penutup, kejayaan pelaksanaan program ini membuktikan bahawa peranan mahasiswa sebagai agen perubahan sosial mampu memberi impak positif yang nyata sekiranya disatukan dengan sokongan padu komuniti setempat. Penglibatan langsung ini bukan sahaja membantu masyarakat, malah menyemai nilai empati, kepimpinan, dan semangat kesukarelawanan yang tinggi dalam diri setiap ahli jawatankuasa program.
Ketua Peneroka Felda Besout 1, Encik Yang Rasidi Rashid turut menzahirkan penghargaan atas kehadiran para mahasiswa UPSI yang bukan sahaja hadir membantu masyarakat, malah membawa semangat baharu kepada penduduk kampung melalui aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan yang dijalankan bersama. Kehadiran golongan mahasiswa dalam program sebegini dilihat mampu menjadi jambatan dalam merapatkan hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan komuniti luar bandar.


Ucap Felo Penasihat Program merangkap perasmi majlis, Puan Siti Norhuda Md Ali “program seperti ini memainkan peranan penting dalam membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai nilai keprihatinan dan kesedaran terhadap tanggungjawab sosial”. Beliau turut menyatakan bahawa penglibatan mahasiswa bersama komuniti melalui aktiviti kebajikan, gotong-royong dan kesukarelawanan mampu memupuk semangat kerjasama, nilai kepimpinan serta hubungan yang lebih erat antara generasi muda dan masyarakat setempat.
Secara keseluruhannya, program ini telah mencapai objektif yang digariskan dengan jayanya, meninggalkan impak kelestarian yang mendalam serta ukiran senyuman kepada penduduk Felda Besout 1.

