Oleh : Ivenny Johnny @ Shiro
Tanjong Malim, 01 November 2026 – Karnival Sukan Za’ba (KASUZA) adalah anjuran daripada Majlis Mahasiswa Kolej Za’ba 26/27, UPSI yang berjaya dianjurkan selama tiga hari dua malam, iaitu bermula pada 30 Oktober 2026 hingga 01 November 2026.
KASUZA adalah satu program yang bertujuan mencungkil dan melatih bakat warga Kolej Za’ba dalam bidang sukan terutamanya sukan bola jaring, bola tampar, futsal, catur, sepak takraw dan E-sport seperti Mobile Legend, PUBG dan e-Football. Di samping itu, dengan harapan supaya pelajar boleh menyemai amalan gaya hidup sihat serta melahirkan bakal atlet universiti yang aktif dan berjaya.
Program berimpak tinggi ini telah mengaplikasikan 5 SDG seperti, Good Health and well-being, Quality Education, Gender Equality, Decent Work and Economic Growth, dan Partnerships For The Goals.
Progam ini telah disertai hampir 700 peserta mahasiswa dan mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam kategori sukan bola jaring, bola tampar, futsal, catur, sepak takraw dan E-sport seperti Mobile Legend, PUBG dan e-Football yang dapat membantu para pelajar untuk melibatkan diri dalam bidang sukan secara aktif di UPSI.
Selain itu, program ini turut dihadiri oleh Encik Yusop Bin Ahmad, Pengetua Kolej Za’ba, UPSI yang seterusnya merasmikan Majlis Penutupan KASUZA serta menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Semasa majlis penutupan berlangsung En Yusop Bin Ahmad juga berharap agar mahasiswa dan mahasiswi sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat melalui sukan seterusnya menambah lagi ukhwah antara penghuni kolej.



Tidak ketinggalan, Pengarah Program KASUZA, Ivenny Johnny @ Shiro mengungkap setinggi-tinggi penghargaan khusus buat seluruh Ahli Jawatankuasa Pelaksana dan barisan sukarelawan. Dedikasi, komitmen dan kerja keras yang diberikan tanpa mengira lelah di balik tabir adalah nadi utama yang membolehkan karnival ini berjalan dengan begitu lancar dan teratur.
Tambahan lagi, beliau turut menyatakan karnival sukan bukan sekadar medan pertandingan untuk meraih kemenangan, malah menjadi platform untuk memupuk semangat kesukanan, membina daya tahan dan mengeratkan hubungan silaturahim. Apa yang lebih bermakna ialah pengalaman, kerjasama dan kenangan yang tercipta sepanjang program berlangsung.
Tuntasnya, objektif KASUZA ini tercapai iaitu menanam semangat kesukanan dan berpasukan dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi Kolej Za’ba dan menyemai amalan gaya hidup sihat dan sejahtera serta melahirkan bakal atlet universiti yang aktif dan berjaya.
