Oleh: Muhammad Nur Syukur Dzahir, Heodho Krishna Dassa dan Muhammad Muzzaiman Muhammad @ Razali

TANJUNG MALIM, 5 November – Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (MMKAB) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi membuktikan komitmen jitu mereka terhadap agenda kebajikan masyarakat menerusi penglibatan dan sokongan padu secara langsung dalam Majlis Penutupan Bulan Kesedaran OKU Peringkat Negeri Perak 2026.

Kehadiran perwakilan MMKAB telah menceriakan lagi suasana Auditorium, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah pada Khamis, 5 November 2026 sekali gus menyerlahkan peranan penting mahasiswa dalam menyokong serta memperkasakan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Sepanjang penganjuran majlis tersebut, barisan kepimpinan dan ahli MMKAB tidak sekadar hadir sebagai penonton, malah secara aktif melawat ruang pameran serta menyokong pelbagai gerai perniagaan yang diusahakan oleh peniaga dan usahawan OKU. Usaha mereka membeli barangan jualan, kraftangan, serta perkhidmatan tempatan ini menjadi bentuk sokongan moral dan ekonomi yang sangat nyata. Penganjuran sambutan ini bukan sahaja berjaya meningkatkan kesedaran awam mengenai kebolehan komuniti istimewa ini, tetapi kehadiran aktiviti mahasiswa di lokasi turut menyuntik semangat baharu buat para usahawan OKU untuk terus berdaya saing dan mandiri.

Selain daripada aktiviti jualan dan pameran, penglibatan mahasiswa dalam program ini turut membuka peluang dialog serta perkongsian pengalaman bersama usahawan OKU.

Interaksi secara langsung ini membantu warga kampus memahami dengan lebih dekat cabaran yang dihadapi oleh golongan berkenaan dalam sektor perniagaan, sekali gus memupuk hubungan kerjasama yang lebih erat antara pihak universiti dan komuniti tempatan.

Wakil MMKAB melawat gerai pameran dan jualan kraftangan yang dikendalikan oleh usahawan OKU semasa Majlis Penutupan Bulan Kesedaran OKU Peringkat Negeri Perak 2026.
Pameran lukisan dan hasil seni kreatif oleh bakat-bakat istimewa komuniti OKU.

​Pihak MMKAB juga merancang untuk menjadikan sokongan terhadap komuniti ini sebagai usaha yang berterusan melalui pelbagai inisiatif ikatan komuniti di peringkat kolej kediaman. Sokongan berterusan ini bukan sahaja merangkumi aktiviti keusahawanan, malah merangkumi kempen kesedaran bagi memastikan persekitaran kampus sentiasa mesra OKU dan menyediakan ruang yang adil untuk semua pihak.

​Selari dengan aspirasi Malaysia Madani serta kerjasama pelbagai rakan strategik, penglibatan MMKAB dalam majlis ini mencerminkan penerapan nilai keterangkuman dan keprihatinan sosial di peringkat kampus. Penglibatan MMKAB diharapkan dapat meneruskan sokongan terhadap usaha memperkasakan ekonomi serta kebajikan golongan OKU secara berterusan pada masa hadapan.