Oleh: Nur Fatihah Husna binti Iskandar Zulkarnain

TANJONG MALIM, 4 Disember 2026 – Kolej Aminuddin Baki (KAB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus giat merancang dan memperkukuh persediaan bagi menjayakan program NUSAKARYA 2026: RENTAK KARYA NUSANTARA, sebuah program yang digerakkan di bawah Exco Kesenian dan Kebudayaan, Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (MMKAB).

Sehubungan dengan itu, satu mesyuarat perbincangan bersama Persatuan 14 Anak-Anak Negeri telah diadakan bagi membincangkan potensi kerjasama serta mendapatkan sokongan daripada persatuan-persatuan yang terlibat. Mesyuarat ini bertujuan untuk memperincikan perancangan program, menyelaraskan gerak kerja antara kedua-dua pihak serta memastikan setiap pengisian yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan sistematik.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh barisan Majlis Tertinggi Program NUSAKARYA serta Person in Charge (PIC) bagi setiap jawatankuasa yang terlibat. Kehadiran barisan kepimpinan dan wakil jawatankuasa ini mencerminkan komitmen pihak penganjur dalam memastikan segala perancangan program dapat dibincangkan secara menyeluruh.

Mesyuarat sedang berlangsung di dalam bilik mesyuarat Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Blok 9, Aras 1.
Mesyuarat sedang berlangsung di dalam bilik mesyuarat Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Blok 9, Aras 1.

Mesyuarat mencatatkan kehadiran seramai 10 daripada 14 persatuan Anak-Anak Negeri yang berkesempatan untuk menghadiri sesi perbincangan tersebut. Kehadiran wakil-wakil persatuan ini membuka ruang kepada perkongsian pandangan, cadangan serta perbincangan mengenai bentuk penglibatan dan kerjasama yang berpotensi dilaksanakan bagi memeriahkan lagi program NUSAKARYA 2026.

Sesi pembentangan pengenalan dan perancangan program telah disampaikan oleh Penasihat Exco Kesenian dan Kebudayaan, Encik Mohammad Arsyad bin Sulaiman, bersama Pengarah Program NUSAKARYA, Muhammad Isyraq Raqin bin Mohd Iqbal. Pembentangan tersebut merangkumi penerangan mengenai hala tuju program, objektif penganjuran serta perancangan aktiviti yang bakal dilaksanakan. Sesi ini juga memberi peluang kepada pihak persatuan untuk memahami dengan lebih jelas konsep dan matlamat penganjuran NUSAKARYA.

Pihak MMKAB berharap agar kerjasama yang terjalin bersama Persatuan 14 Anak-Anak Negeri dapat diperkukuh melalui penglibatan aktif dan sokongan padu daripada setiap persatuan. Usaha ini bukan sahaja bertujuan untuk memastikan kelancaran penganjuran program, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk semangat kebersamaan serta meraikan kepelbagaian budaya dan warisan yang terdapat dalam kalangan mahasiswa UPSI.

NUSAKARYA 2026 bakal menampilkan pelbagai pengisian menarik yang merangkumi pertandingan, bengkel kesenian dan kebudayaan, aktiviti interaktif, persembahan serta jualan. Program ini diharapkan dapat menjadi wadah kepada para mahasiswa untuk mengenali, menghayati dan menghargai keunikan seni serta warisan budaya Nusantara, di samping menyediakan ruang untuk mengetengahkan bakat dan kreativiti masing-masing.

Pihak penganjur turut berharap agar program ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga Kolej Aminuddin Baki, seluruh mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris serta para alumni. Semoga NUSAKARYA 2026 bukan sekadar menjadi sebuah program kesenian dan kebudayaan, tetapi juga menjadi ruang pertemuan yang menyatukan pelbagai latar belakang, menghidupkan semula kenangan serta mencipta memori baharu yang akan terus terpahat dalam perjalanan kehidupan mahasiswa.

Nantikan NUSAKARYA 2026: RENTAK KARYA NUSANTARA – sebuah pertemuan seni, budaya dan warisan yang menyatukan kita!