TANJONG MALIM, 02 APRIL 2024 – Majlis Mahasiswa Unit Kediaman Luar Kampus (MMKLK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) yang dihadiri para pelajar luar kampus yang menyewa di sekitar Tanjong Malim dan Taman Bahtera. Dalam majlis ini seramai 20 orang pelajar luar kampus terpilih menerima sumbangan beras yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Waqaf, Endowmen, Zakat, Sedekah & Khairat (WEZAS), Profesor Madya Dr. Mohd Abdul Nasir Abdul Latif.

Majlis diserikan dengan ceramah oleh pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan, Ustaz Muhammad Hasbi Abdul Rahman yang bertajuk “Ramadan bertaut ukhuwah”. Semoga majlis ini mengeratkan lagi tali silaturahim antara pelajar luar kampus dengan pengurusan UKLK dan menonjolkan keberadaan UKLK kepada warga pelajar UPSI.

Pengetua UKLK, Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani bin Che Kob dalam ucapannya memanjatkan rasa syukur dan terima kasih di atas sumbangan WEZAS kepada pelajar luar kampus yang memerlukan, dan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu pelajar dari latar keluarga yang kurang berkemampuan. Apa yang penting pelajar tidak berlapar dan dapat belajar tanpa sebarang masalah. Beliau juga menyeru pelajar yang kekurangan wang membeli makanan untuk datang pejabat UKLK mendapatkan kupon Skuad Penyayang. Dengan kupon tersebut pelajar boleh membeli barang keperluan runcit. Beliau juga turut merakamkan ucapan penghargaan di atas kesudian pihak WEZAS yang akan terus memberikan sumbangan kepada pelajar luar kampus melalui UKLK.

Penganjuran majlis iftar ini telah mengeratkan ukhuwah sesama mahasiswa dengan UKLK dan mengimarahkan lagi bulan Ramadan yang penuh berkah ini dengan memberi makan serta berkongsi rezeki kepada pelajar.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)