Oleh: Fajrul Solehien

Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Direktorat Jenderal Pendidikan Islam, Kementerian Agama Indonesia (KEMENAG) telah menjalin satu perjanjian yang bersejarah dengan menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi memperkukuhkan kerjasama dalam bidang pendidikan, khususnya Pendidikan Islam.

KEMENAG Indonesia memulakan hubungan baik ini dengan menjanjikan 40 pelajar terbaik untuk menyambung pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Pendidikan Islam di UPSI sekaligus menunjukkan keyakinan mereka terhadap kualiti pendidikan yang ditawarkan oleh UPSI.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff menyambut baik usaha KEMENAG Indonesia dan menyatakan komitmen beliau untuk menjayakan tanggungjawab besar ini dengan cemerlang.

Beliau menyatakan, “Program Sarjana Pendidikan (Pendidikan Islam) ini adalah merupakan program yang sangat disegani dan direbut pelbagai pihak, justeru itu pengambilan pelajar program ini pada setiap semester sangat memberansangkan.

Walaupun demikian, saya yakin dengan kebolehan pakar pendidikan kita untuk terus menjayakan program ini dan mengharapkan agar program ini terus mendapat sambutan, terutama daripada pihak negara sahabat kita selepas memeterai perjanjian ini.”

Selain daripada proses pengajian dan pembelajaran pelajar, perjanjian ini juga menekankan usaha pertukaran pensyarah, penyelidikan bersama, penerbitan akademik, serta penganjuran seminar dan bengkel dalam pelbagai bidang.

Ini akan memperkukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua institusi dan memastikan perkembangan ilmu pendidikan Islam yang lebih baik di rantau ini, disamping memupuk semangat kerjasama erat antara UPSI dan KEMENAG.

Majlis menandatangani MoA ini disaksikan oleh para wakil dari kedua-dua institusi, yang menyatakan komitmen mereka untuk menjayakan kerjasama ini demi kemajuan pendidikan Islam di peringkat antarabangsa.

Turut hadir Pelaksana Tugas Direktur Jenderal Pendidikan Islam KEMENAG, Prof Dr. Abu Rokhmad; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof Dr Abdul Rahim Razalli; Sekretaris Direktorat Jenderal Pendidikan Islam KEMENAG, Prof Dr Rohmat Mulyana; Pendaftar UPSI, En. Helmi Zaifura Abdul Rahman; Pelaksana Tugas Direktur Pendidikan Diniya dan Pondok Pesantren KEMENAG, Prof Dr Waryono Abdul Ghofur; dan Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI, Prof Madya Ts Dr Nor Kalsum Mohd Isa.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)