Oleh: ChM Dr Yuhanis Mhd Bakri dan Norhasrina Idris
Tanjong Malim: Pusat Pembangunan Akademik, Universiti Pendidikan Sultan Idris telah menganjurkan Sesi Perkongsian Pakar (TLAS) bersama Dr. Norliza Mohd Isa daripada Universiti Teknologi Malaysia iaitu pemenang Anugerah Akademik Negara kali ke-15 bagi Anugerah Pengajaran (Kelompok Sains Gunaan) pada tahun 2023.
Anugerah Akademik Negara merupakan anugerah paling berprestij bagi negara mengiktiraf kesarjaanaan kakitangan akademik tempatan.
Sesi perkongsian ini merupakan yang kedua di UPSI bagi 2024 melibatkan pemenang Anugerah Akademik Negara kali ke-15 yang sebelum ini diadakan pada 14 Februari 2024 oleh Prof. Madya Dr. Adibah Abdul Latif, pemenang Anugerah Pengajaran (Kelompok Sastera Gunaan & Sains Sosial Gunaan).
Pada tahun 2023, hanya dua orang sahaja penerima anugerah bagi kategori pengajaran dengan keseluruhan bilangan penerima anugerah pelbagai kategori hanya enam orang di Malaysia termasuk penerima Tokoh Akademik Negara, Profesor Dato’ Dr. Adeeba Kamarulzaman.
Program tersebut telah berlangsung pada Khamis, 25 April 2024 bertempat di Dewan Kuliah e-Learning 5, Bangunan e-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah dengan dihadiri kira-kira 50 orang kakitangan akademik UPSI. Perkongsian beliau bertajuk Innovation in Teaching: Sharing From Anugerah Akademik Negara Winning Journey merupakan inisiatif universiti bagi meningkatkan kompetensi PdP serta menggalakkan pembudayaan inovasi dalam pengajaran.
Beliau berkongsi berkenaan perjalanan proses memenangi Anugerah Akademik Negara termasuk anugerah-anugerah yang pernah dimenangi sebelum ini serta keseluruhan pengalaman sehingga peringkat mockteaching atau simulasi pengajaran bagi peringkat kedua temuduga anugerah.
Falsafah pengajaran beliau ialah AQWAM yang merupakan perkataan bahasa arab seperti dalam Surah Al Israk ayat-9. AQWAM yang dijelaskan beliau ialah attitude, emotional quotient, teamwork, adaptability and communication skills. Beliau menekankan bahawa adab perlu lebih tinggi dari ilmu.
Inovasi yang beliau ketengahkan bagi permohonan Anugerah Akademik Negara ialah PeerArtGogy (Peer Learning & Art) melalui projek Citra Perpaduan melalui PeerArtGogi Seni Jawi, Khat dan Kaligrafi. Diharapkan perkongsian beliau dapat menyemarakkan semangat inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan kakitangan akademik UPSI.