oleh Noorfarazila Muhammad Ayub
Tanjung Malim, 25 April 2024 – MSSD MUALLIM 2024, sebuah acara catur yang dinantikan, kini sedang berlangsung di dewan Kolej Za’ba, UPSI. Pertandingan catur peringkat kebangsaan ini telah menarik perhatian para pemain catur dari sekolah – sekolah menengah dan rendah di Daerah Muallim seperti SK Trolak Timur, SK Tanjong Malim, SK Sungai Behrang, SK Proton City, SK Methodist, dan banyak lagi. Pertandingan catur ini dilaksanakan mengikut beberapa kategori peringkat umur iaitu L12, P12, L15, P15, L18 dan P18.
Program Kejohanan Sukan Catur Kali Ketiga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Muallim 2024 telah dilangsungkan pada 25 & 26 April 2024 bertempat di Dewan Kolej Za’ba, UPSI. Program ini dikelolakan oleh Majlis Mahasiswa Kolej Za’ba dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Daerah Muallim, Majlis Sukan Sekolah Daerah Muallim, Sukan Nadi, Pusat Sukan UPSI dan Kelab Catur UPSI. Dengan kehadiran lebih dari 300 peserta dari pelbagai sekolah rendah dan menengah di Daerah Muallim ini telah menghidupkan suasana di Dewan Kolej Za’ba dengan satu pandangan dalam menyaksikan bakat – bakat catur muda ini bersaing dalam mempamerkan kebolehan mereka. Para pemain catur ini menunjukkan strategi dan kemahiran berfikir yang tajam dalam setiap langkah. Mereka dilihat berusaha keras untuk mencapai kejayaan dalam memenangi gelaran peringkat kebangsaan ini.
Program ini dianjurkan bagi melatih dan membentuk generasi muda lebih berkeyakinan serta berdaya saing di mana ia merangsang peserta untuk menjadi lebih inovatif dalam mengatur strategi untuk menyelesaikan masalah sekaligus melatih diri peserta untuk lebih positif dalam menghadapi cabaran akan pada masa akan datang.
Permainan catur ini telah terbuktikan secara saintifik dapat membantu perkembangan otak yang mana ia dapat meningkan IQ pelajar serta membantu pelajar untuk lebih fokus.
Ketua Arbiter, Puan Intan Rahayu Abd Aziz berkata, Pertandingan catur peringkat kebangsaan ini bukan hanya sekadar acara kompetisi, tetapi juga menjadi platform untuk para pemain catur berbakat menunjukkan kemahiran mereka. Para peserta dapat belajar dari satu sama lain, berinteraksi dan memperluaskan jaringan dalam duia catur.
Menurut Puan Intan Rahayu, Ketua Arbiter lagi, “Kejohanan ini bukan sahaja tentang memenangi permainan, tetapi juga tentang perkembangan kemahiran berfikir strategik, kesabaran, dan kerjasama antara pelajar.” Beliau menambah, “Catur adalah satu aktiviti yang mempunyai impak positif dalam perkembangan mental pelajar, dan MSSD memberi peluang kepada mereka untuk berkongsi pengalaman dan memperkukuhkan persahabatan melalui sukan.”
Selama dua hari ini iaitu dari 25 April hingga 26 April 2024, Dewan Kolej Za’ba menjadi medan perjuangan para pemain catur. Setiap langkah dan keputusan yang diambil para pemain, akan menentukan nasib mereka dalam pertandingan ini.
MSSD MUALLIM 2024 juga memberikan peluang kepada penonton untuk menyaksikan pertandingan catur yang menarik. Dengan suasana yang penuh ketegangan, acara ini pasti akan memberi pengalaman yang mengasyikkan bagi semua yang hadir.