Editor: Muhamad Haikal Bin Musa
Melaka, 24 Mei 2024 – Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Pendidikan Sultan Idris (JHEPA,UPSI) buat julung kalinya telah berjaya menganjurkan Program Membersih Sungai Melaka dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM). Program ini melibatkan penyertaan seramai 148 kakitangan di bawah Portfolio Timbalan Naib Canselor (HEPA).
Majlis perasmian program ini telah disempurnakan oleh Hj. Salman bin Hj. Salim, Pengurus Jabatan Pembangunan Perniagaan & Korporat PPSPM. Dalam ucapannya, Hj. Salman menekankan betapa pentingnya usaha menjaga kebersihan dan kelestarian sungai sebagai salah satu langkah utama dalam memelihara alam sekitar. Beliau turut memuji komitmen yang ditunjukkan oleh JHEPA,UPSI dalam usaha ini dan berharap kerjasama seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
Program membersih sungai ini merupakan salah satu pengisian di dalam slot Retreat JHEPA 2024 di samping menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar dan mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan sungai. Aktiviti ini bukan sahaja melibatkan kerja-kerja pembersihan fizikal seperti memungut sampah sarap yang terapung dan tersangkut di tebing sungai, tetapi juga melibatkan sesi penerangan dan pendidikan mengenai kepentingan sungai kepada ekosistem dan kehidupan manusia.
Timbalan Naib Canselor UPSI, Prof. Dr. Norkhalid bin Salimin, yang turut hadir dalam program ini, menyatakan penghargaan beliau kepada semua kakitangan yang terlibat. Beliau menegaskan bahawa program seperti ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial universiti dalam mendidik dan menyumbang kepada masyarakat.
“Usaha ini diharapkan dapat menyemarakkan lagi kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan sungai kita. Sungai Melaka bukan sahaja menjadi lambang negeri Melaka yang terkenal sebagai bandar pelancongan, tetapi juga sumber kehidupan yang perlu kita pelihara bersama,” ujar Prof. Dr. Norkhalid.
Program ini berakhir dengan sesi bergambar dan penyampaian cenderahati sebagai tanda penghargaan dan kerjasama di antara JHEPA,UPSI dan PPSPM.