Disediakan oleh: Hafiz Abd Manap dan Hazim Haziq
Kompleks Sukan UPSI: Lebih 3,000 mahasiswa serta atlet sukan pelbagai kolej kediaman atas semangat perpaduan hadir memeriahkan acara sukan tahunan yang dilaksanakan pada kali ini. Acara yang telah berlangsung dalam 3 fasa itu bermula pada 7 Jun 2024 sehingga 29 Jun 2024 dan telah dirasmikan dengan pembukaan yang gilang gemilang oleh YB Khairuddin Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak.
Kolej Ungku Omar sah menamatkan saingan di kejohanan kali ini dengan 28 emas, 27 perak dan 25 gangsa bagi muncul naib juara keseluruhan. Pengetua Kolej Ungku Omar,Prof. Madya Dr. Mohd Nizam Nasrifan berkata, ia pencapaian terbaik Kolej Ungku Omar dalam sejarah penyertaan di temasya sukan antara kolej kediaman dan luar kampus itu.
Atlet KUO seramai 500 atlet menyertai kesemua acara membabitkan 20 jenis sukan yang dipertandingkan. “Tiada satu sukan dianggap gagal. Mereka mempamerkan prestasi cemerlang, tepati sasaran dan memuaskan,” katanya.
Tambah manis, KUO yang mendahului kedudukan pingat pada fasa 1 dan 2 itu turut diumumkan sebagai juara keseluruhan beberapa acara termasuklah taekwondo, karate, dan futsal.
Pada majlis pembukaan kejohanan, kontinjen perbarisan dan pasukan sorak KUO yang mengenakan outfit serba biru dan jersi Super UPSI KUO telah mempamerkan perbarisan dan keseragaman persembahan yang memukau juri bagi merangkul pasukan perbarisan dan pasukan sorak terbaik. Sebagai rekod, ini kali kedua berturut-turut KUO memenangi pasukan perbarisan terbaik dalam temasya sukan ini.
Perarakan perbarisan yang didahului dengan pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) diikuti kontinjen kolej-kolej kediaman KHAR, KUO, KAB, KZ, KAHS dan UKLK. Banyak yang boleh dipelajari dan diperkemaskan menjelang temasya sukan itu pada masa akan datang.
Ketua Kontinjen KUO, Azreen Andang berkata, ini kejohanan terakhirnya selaku ketua kontinjen setelah edisi lepas KUO hanya berjaya menduduki tempat keempat keseluruhan. Baginya edisi kali ini sangat memberangsangkan dengan kerjasama semua pihak.
“Komitmen dan semangat kesukanan tinggi ditunjukkan oleh semua atlet dan pengurusan Super UPSI KUO kali ini membuahkan hasil, kita dapat memperbaiki kedudukan yang lebih baik berbanding tahun lepas dan lebih menarik, pada temasya kali ini, pentadbiran, felo, felo siswa, MMK, serta warga KUO bersatu hati memberikan sepenuh keringat dan sokongan demi nama Kolej Ungku Omar,” katanya.
Kejohanan yang dianjurkan ini bukan sahaja dapat mencungkil bakat terpendam semua penghuni kolej malahan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama warga KUO tidak mengira pangkat dan jawatan. Majulah sukan demi KUO!