Oleh: Farah Farhana, Rabiatul Ayiesah, Nurarisya, Asyraaf Izzuan
1 Julai 2024
Tanjong Malim: Kolej Aminuddin Baki (KAB) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menjadi tuan rumah bagi program Qalbu JHEPA dengan tema pengorbanan.
Program berbentuk ceramah ini berlangsung di Panggung Percubaan, UPSI, dan turut dihadiri oleh Encik Zulkifli Mamat selaku Pengetua Kolej Aminuddin Baki bersama wakil Majlis Pengetua Kolej Kediaman.
Yang menariknya, KAB berjaya membawa Da’i Wan Dazrin sebagai tetamu jemputan untuk menyampaikan ceramah bertajuk “Biar Berkorban, Jangan Terkorban”.
Ceramah ini menekankan pengorbanan sebagai seorang manusia sejagat terhadap perjuangan saudara-saudara di Palestin. Da’i Wan juga mengingatkan kita agar meluangkan masa dengan membaca dan mentadabbur Al-Quran serta mengawal hawa nafsu daripada terleka dengan perkara yang melalaikan.
Program ini dihadiri seramai 250 orang, termasuk staf UPSI, bagi memeriahkan majlis yang berlangsung seawal jam 9:00 pagi. Peserta teruja dengan penyampaian ceramah Da’i Wan yang bercorak santai, menarik minat peserta untuk menyelami erti pengorbanan dan mengaplikasikan perkongsian tersebut dalam kehidupan seharian.
Melalui perkongsian ilmu dan nasihat yang bermanfaat, diharapkan dapat memberi panduan dan pedoman dalam menempuhi cabaran hidup agar tidak tersasar dari tujuan sebenar kehidupan.
Program perkongsian ilmu bercorak santai wajar diperbanyakkan, di samping dapat mengingatkan diri kepada Allah SWT dan beristiqamah dalam memperbetulkan diri bagi mencapai keredaan Allah SWT.
Program ini memberikan kesedaran kepada semua yang hadir tentang pentingnya pengorbanan dalam kehidupan, baik untuk diri sendiri mahupun untuk masyarakat.
Semoga dengan penganjuran program seperti ini, lebih banyak lagi program bermanfaat dapat dijalankan bagi memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan warga UPSI dan masyarakat sekitarnya.