Oleh: Dr. Sabarina Shafie, Dr. Rawdah Adawiyah Tarmizi, Jerjenna Quinn Philipsen Jeff
2 Julai 2024
Tanjong Malim: Persatuan Mahasiswa Matematik (PMMU) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Pertandingan Matematik Triple R (Rapid, Response, Rumble) yang berlangsung di Bilik Seminar Fakulti Sains dan Matematik, Blok 1, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.
Pelaksanaan pertandingan yang bertemakan “Rapid, Response, Rumble” ini melibatkan penyertaan seramai 40 orang pelajar UPSI secara berkumpulan.
Pertandingan ini menggalakkan kemahiran mengira secara pantas dan tepat dalam menyelesaikan masalah matematik yang melibatkan operasi tambah, tolak, darab, bahagi, serta nombor perdana.
Tajaan penuh diberikan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Jabatan Matematik, dan Persatuan Veteran ATM Cawangan Lundu (PVATM) bagi menjayakan pertandingan ini.
Pertandingan Matematik Triple R melibatkan lima pusingan iaitu You Can Count On Me, Build Me Up, Fix Me Up, Master of Prime Number, dan Finish Me.
Setiap pusingan memerlukan peserta untuk mengira secara pantas tanpa menggunakan sebarang alat bantuan elektronik seperti telefon pintar atau kalkulator.
Peserta akan menyelesaikan soalan yang diberikan secara berkumpulan dan perlu memastikan jawapan yang diberikan adalah tepat.
Konsep “siapa cepat dia dapat” diterapkan dalam pelaksanaan setiap pusingan bagi memenuhi kriteria rapid dan response seperti nama program.
Penentuan pemenang adalah melalui sistem pemarkahan yang telah ditetapkan oleh para juri pertandingan dengan mengambil kira kriteria rapid, response, dan rumble.
Majlis perasmian penutupan telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Sains dan Matematik, Dr. Ikhwan Hadi Yaacob. Dalam ucapannya, beliau menyatakan harapan agar pertandingan seperti ini dapat diteruskan untuk melahirkan pelajar UPSI yang mampu menyelesaikan masalah matematik dengan pantas dan tepat.
Beliau juga berharap agar ilmu yang diperoleh daripada pertandingan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh pelajar demi memperkukuh kemahiran matematik yang selari dengan aspirasi negara dalam menerapkan Kemahiran STEM.
Pertandingan Matematik Triple R bukan sahaja menguji kepantasan dan ketepatan para pelajar dalam pengiraan matematik tetapi juga memupuk semangat kerjasama dan kebersamaan dalam kumpulan. Ini selaras dengan matlamat pendidikan UPSI dalam membentuk pelajar yang holistik dan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.