Oleh : Anis Farisha, Nur Jannah Najiha dan Dr. Hamidah Idris
Hulu Selangor– Program Hello Microbes™ 8.2: Microbiology MiniClass berlangsung dengan jayanya pada 28 Jun lalu dengan kerjasama Pejabat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Hulu Selangor. Sebanyak 16 Tabika Perpaduan di dalam daerah Hulu Selangor telah menyertai program ini yang melibatkan 31 orang guru dan 300 orang murid.
Program ini dijalankan dengan tujuan untuk merungkai konsep sains dalam senario kehidupan sebenar dan berkongsi maklumat dalam bidang mikrobiologi melalui pendekatan belajar sambil bermain. Pelaksanaan program melibatkan seramai 47 orang pelajar kursus SBB3033 Prinsip-prinsip dalam Mikrobiologi Semester 2 Sesi 2023/24 sebagai tugasan SULAM di bawah seliaan Dr. Hamidah Idris. Bagi memberikan pengalaman pembelajaran bermakna, tugasan ini menekankan kerjasama rapat antara pelajar dan guru Tabika Perpaduan sebagai ahli komuniti sasaran dan pakar bidang dalam penyediaan bahan dan penyampaian ilmu mikrobiologi.
Persoalan autentik yang terdapat di kalangan kanak – kanak Tabika Perpaduan Hulu Selangor tentang dunia mikrob dan input daripada guru-guru Tabika Perpaduan Hulu Selangor yang berpengalaman dalam pendidikan awal kanak-kanak menjadi asas kepada pengisian dan aktiviti dalam Program Hello Microbes™ 8.2: Microbiology MiniClass. Pelbagai aktiviti menarik yang menekankan aplikasi dunia mikrob dalam kehidupan melalui pendekatan alat bantu mengajar sesuai untuk kanak-kanak telah dijalankan sepanjang program antaranya Family Microbes, Antibiotic Resistance Tag Game, The 5 Seconds Rule, Microflora Wonders, Wound and Cut, Pandemic, World of Probiotics, Degradation Blitz, Gut Microbiota dan Immune Defender.
Pegawai Perpaduan Daerah Hulu Selangor, Nor Faizah Kamaruddin menyatakan “Program Hello Microbes adalah menarik dan penekanan kepada aktiviti hands on adalah sesuai untuk memberikan pengalaman bermakna kepada kanak-kanak dan guru-guru di samping menambah pengetahuan tentang dunia kuman.”
Maklum balas positif juga diterima daripada tenaga pengajar dan kanak-kanak tabika perpaduan yang menunjukkan impak program. Peserta turut menyatakan keterujaan dalam mengenali bidang mikrobiologi buat kali pertama serta berpuas hati dengan bahan aktiviti menarik dan penerangan dari pasukan Hello Microbes™.
Kejayaan Program Hello Microbes™ 8.2: Microbiology MiniClass telah menarik minat pihak Jabatan Perpaduan Daerah Hulu Selangor untuk meneruskan kerjasama untuk siri seterusnya. Diharapkan agar program seperti ini dapat menyumbang kepada pembangunan generasi celik ilmu dan membuka peluang yang lebih luas untuk kerjasama dengan pelbagai pihak di masa akan datang.