Disediakan oleh: Sofea Maisarah Shuib

Ipoh, 30 Jun 2024 – Kolej Ungku Omar mencipta sejarah gemilang apabila berjaya membawa pulang lima Anugerah Pemimpin Individu Lestari serta anugerah utama iaitu Kolej Bitara dalam Majlis Anugerah Kolej Kediaman peringkat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Kejayaan ini mengukuhkan reputasi Kolej Ungku Omar (KUO) sebagai kolej yang cemerlang dalam pelbagai bidang.

Pada mulanya, Kolej Ungku Omar telah menghantar sembilan orang pemimpin program Kolej Ungku Omar untuk bertanding dalam Anugerah Pemimpin Individu Lestari, namun hanya lima daripada mereka yang berjaya memenangi anugerah tersebut. Walaupun begitu, pencapaian ini tetap membanggakan dan menunjukkan kekuatan dan dedikasi Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (MMK KUO) serta pihak pentadbir dan felo.

Majlis Anugerah Kolej Kediaman kali ke-17 yang berlangsung di Hotel Casuarina, Ipoh ini bertujuan mengiktiraf dan menghargai usaha serta dedikasi kolej kediaman dan para MMK dalam mempromosikan kepimpinan, kelestarian, dan aktiviti kokurikulum yang membawa manfaat besar kepada mahasiswa universiti, masyarakat dan negara dengan penganjuran program yang berimpak tinggi selaras dengan ucapan perasmian oleh Profesor Dr. Norkhalid Salimin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal dan Alumni) beliau menekankan pentingnya pelaksanaan program berimpak tinggi dalam usaha melahirkan mahasiswa yang holistik dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan, serta membentuk sahsiah dan kepimpinan yang diperlukan untuk menghadapi cabaran masa depan.

Buktinya Kolej Ungku Omar telah berjaya menonjolkan keunggulan mereka dalam pelbagai aspek dengan membawa pulang anugerah bagi kategori Pemimpin Individu Lestari bagi program Sains, Teknologi dan Inovasi (STEM), Kebudayaan, Sahsiah dan Kerohanian, Kesukarelawanan dan Pengucapan Awam.

Antara penerima anugerah tersebut ialah Ahmad Haziq Arawi, yang dianugerahi Pemimpin Individu Lestari Program STEM atas inisiatifnya dalam mengembangkan program sains dan teknologi yang inovatif. Program-program yang dijalankannya bukan sahaja meningkatkan minat pelajar terhadap STEM tetapi juga memperkenalkan aplikasi praktikal yang relevan dalam kehidupan seharian.

Anugerah Pemimpin Individu Lestari Kebudayaan diberikan kepada Mohamad Asmadi Bohri atas usahanya dalam melaksanakan program yang berimpak tinggi bagi mempromosikan seni dan budaya Malaysia di kalangan pelajar dan pensyarah dari Indonesia dan program kebudayaan yang beliau anjurkan tidak hanya memperkaya pengetahuan peserta tentang warisan budaya, tetapi juga menggalakkan keterlibatan aktif dalam seni persembahan. Program ini diberi sokongan penuh oleh penasihat program, mantan felo KUO, Dr Nuzsep Almigo yang turut memberikan sumbangan penting dalam menjayakan program berteraskan kebudayaan ini.

Nur Syahidah Talip pula diiktiraf sebagai Pemimpin Individu Lestari Sahsiah dan Kerohanian atas peranannya dalam penganjuran aktiviti-aktiviti keagamaan dan moral yang memperkukuhkan sahsiah mahasiswa/i. Usaha gigihnya dalam mempromosikan nilai-nilai murni dan perpaduan telah memberi impak besar kepada komuniti kolej.

Kolej Ungku Omar sekali lagi dapat merangkul Anugerah Pemimpin Individu Lestari Kesukarelawanan pada tahun ini. Nurul Azira Mohd Zulkifli menerima penghargaan atas sumbangannya yang luar biasa dalam merancang dan melaksanakan program-program sukarelawan yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat. Program yang dianjurkan ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar.

Anugerah Pemimpin Individu Lestari Pengucapan Awam diberikan kepada Shaarmila Asokan yang telah menunjukkan kebolehan luar biasa dalam bidang komunikasi dan pengucapan awam. Kejayaannya dalam pelaksanaan program antarabangsa yang memberi peluang kepada peserta untuk menyertai pertandingan berkonsepkan pengucapan awam sekaligus dapat meningkatkan keyakinan peserta dan ini telah membuktikan kemampuan beliau sebagai seorang pemimpin yang berkaliber.

Dalam majlis yang sama, beberapa anugerah lain turut disampaikan antaranya Anugerah Jasamu Dikenang yang diberikan kepada 32 orang barisan MMK KUO sebagai tanda penghargaan atas segala khidmat bakti yang mereka berikan. Selain itu, Encik Amirul Fadzlishah Mat Basri telah dianugerahi Anugerah Staf Cemerlang atas prestasi luar biasa dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya. Anugerah Felo Khidmat Bakti Cemerlang pula dianugerahkan kepada felo yang telah memberikan sumbangan besar dalam pelbagai program kolej iaitu Puan Siti Norhuda Md Ali dan Anugerah Penasihat Felo Cemerlang diberikan kepada Encik Muhamad Safwan Sarifbudin sebagai tanda penghargaan atas dedikasi beliau.

Selain kejayaan individu, Kolej Ungku Omar turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Utama Kolej Bitara, mengiktiraf keseluruhan prestasi cemerlang mereka dalam bidang kokurikulum dan kepimpinan. Pengetua Kolej Ungku Omar, Profesor Madya Dr. Mohd Nizam Nasrifan meluahkan rasa bangga dan terharu atas pencapaian ini. “Kejayaan ini adalah hasil daripada kerja keras, dedikasi, dan semangat kerjasama semua warga kolej. Kami akan terus komited untuk menyediakan program yang berimpak tinggi bagi pembangunan holistik para pelajar,” katanya.

Dengan pencapaian ini, Kolej Ungku Omar akan terus membuktikan diri sebagai pusat kecemerlangan yang bukan sahaja memberi penekanan kepada kepimpinan, tetapi juga untuk membina sahsiah, akademik, dan kemahiran insaniah para penghuninya. Kejayaan ini diharapkan menjadi inspirasi kepada semua kolej kediaman untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam semua aspek.