Oleh: NUR HIDAYAH SHAZIRA MOHD SHUKOR, SARAH SAMAD, NORAINI ISHAK

NCDRC 22 Jun 2024 – Kursus Denver siri satu yang dijalankan pada 22 Jun 2024 bertempat di Dewan Jauhar, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC). Kursus yang bermula pada 8.30 pagi sehingga 12.30 tengahari melibatkan kakitangan Taska dan Tadika NCDRC UPSI. Kursus ini bertujuan membantu para pendidik dalam mengesan kanak-kanak yang mempunyai ‘Development Delay’ di kalangan kanak-kanak berusia 6 tahun dan ke bawah.

Kursus ini disampaikan langsung oleh pakar dalam bidang Terapi Cara Kerja (Pediatrik) iaitu Dr Iylia Dayana Shamsudin adalah pensyarah kanan dan juga ahli Terapi Cara Kerja daripada Fakulti Pembangunan Manusia. Menurutnya, Ujian Saringan Denver II dilaksanakan untuk mencerap perkembangan kanak-kanak untuk menilai sekiranya kanak-kanak menunjukkan lewat perkembangan atau tidak dari seawal kelahiran sehingga berumur 6 tahun. Dengan maklumat yang diperolehi dari ujian Saringan Denver II, pendidik dapat menilai perkembangan kanak-kanak dari aspek fizikal, mental, sosial, dan emosional kanak-kanak secara sistematik.

Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Dr. Masayu Dzainudin menyatakan bahawa para pendidik dapat membuat pemantauan perkembangan bermakna melalui pemerhatian dan memberi tumpuan terhadap cara-cara spesifik semasa kanak-kanak bermain, belajar, bercakap, bertindak dan bergerak setiap hari, secara berterusan di dalam bilik darjah dan di luar bilik darjah.

“Kursus ini memberi impak positif kepada para pendidik dimana mereka dapat mengenal pasti kelewatan perkembangan kanak-kanak dan dapat membantu kanak-kanak dengan merancang aktiviti yang bersesuaian untuk membantu memesatkan perkembangan berdasarkan maklumat yang dikumpulkan secara sistematik melalui ujian Saringan Denver II yang dibuat” katanya.

Bagi kursus Denver Siri kedua pula akan berlangsung pada bulan ogos ini dengan memberi penekanan yang lebih signifikan dalam mengesan kanak-kanak berkeperluan khas ini disamping saling berkongsi kepakaran dalam bidang pendidikan khas.

NCDRC akan sentiasa komited dalam meningkatkan kepakaran dan kemahiran para pendidik dalam apa jua bidang terutama dalam Pendidikan awal kanak-kanak dan Pendidikan Khas.