Oleh: Muhammad Shafiq Razali (Fakulti Sains Kemanusiaan)

Tanjong Malim, 5 Julai 2024: Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima lawatan penanda aras Panitia Geografi dengan kerjasama panitia Bahasa Melayu SMA Lughatil Arabiah Tangkak ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Rombongan terdiri daripada 44 orang pelajar menengah rendah tingkatan 1 hingga 3 dan disertai oleh 7 orang guru pengiring. Rombongan lawatan tiba seawal jam 8:30 pagi dan disambut oleh urusetia yang terdiri daripada pelajar-pelajar di Jabatan Geografi dan Alam Sekitar (PERGEO).

Rombongan SMALAT seterusnya dibawa ke Bilik Interaksi FSK bagi upacara perasmian dan taklimat daripada kedua-dua belah pihak. Taklimat hala tuju dan panduan untuk meneruskan pengajian di UPSI disampaikan oleh pemangku Ketua Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Prof Madya Dr Hanifah Mahat. Manakala taklimat persatuan dan aktiviti pelajar pula disampaikan oleh Timbalan Yang Di Pertua PERGEO, Muhammad Shafiq Razali.

Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMALAT,Mazlina Selamat yang memberikan ucapan balas sangat berterima kasih atas kesudian UPSI menerima lawatan daripada pihak sekolah dan berbesar hati kerana FSK banyak membantu dan memudahkan mereka merealisasikan program lawatan penanda aras ini. Dalam pada itu, Ustazah Mazlina Selamat juga memuji produk keluaran UPSI yang sedang berkhidmat di sekolah mereka. Guru-guru keluaran UPSI menurut beliau menunjukkan kesungguhan dan iltizam yang tinggi serta sentiasa bersedia memberi khidmat terbaik demi kemenjadian murid di sekolah.

Wakil SMA Lughatul Arabiah yang juga merupakan alumni program AT33 UPSI, Nurul Nabilah Khamis berkata, lawatan penanda aras ini dibuat bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar dengan persekitaran kampus bagi meningkatkan kesedaran, motivasi dan minat pelajar untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Selain itu, Nurul Nabilah juga berharap lawatan penanda aras ini mengeratkan lagi hubungan UPSI dengan pihak sekolah dan berbesar hati menjemput persatuan pelajar mengadakan kerjasama dan aktiviti di sekolah mereka nanti.

Rombongan dari SMA Lughatil Arabiah juga berkesempatan melawat perpustakaan Tuanku Bainun dan Muzium Pendidikan Nasional selain daripada mengambil peluang bergambar dan merakam memori dalam persekitaran kampus Sultan Abdul Jalil Shah yang indah ini. Selesai sesi lawatan para guru dan pelajar SMALAT diberikan taklimat Edutourism Lebah Kelulut oleh Prof Madya Dr Kamarul Ismail. Mereka didedahkan dengan pelbagai manfaat industri ternakan lebah kelulut, peluang meningkatkan aktiviti ekonomi dan ruang pengembangan inovasi daripada produk madu kelulut. Antara inovasi yang sedang dibangunkan oleh fakulti di bawah payung FSK Merchandise ialah minuman air madu kelulut yang diedarkan secara percuma kepada delegasi SMALAT bagi mendapat maklum balas tentang kesesuaian dan kebolehpasaran produk tersebut.

Selesai taklimat, mereka dibawa melawat kemudahan-kemudahan yang disediakan di UPSI Adventure Park dan melihat sendiri bagaimana proses penternakan kelulut dijalankan. Rombongan SMALAT ini diberikan taklimat tentang spesis-spesis kelulut dan merasai keenakan madu kelulut segar yang baru dituai daripada sarang. Terima kasih diucapkan atas kesudian membuat lawatan ke UPSI, terima kasih juga diucapkan kepada urusetia program yang terdiri daripada pelajar PERGEO yang memastikan program lawatan berjalan lancar. Semoga rombongan SMALAT pulang dengan memori indah tertanam. Bak kata pepatah, jika baik beritahu orang, jika buruk beritahu kami.