Oleh : Anis Farhana Rohizal dan Mahzuz Irfan Asmad

Tanjong Malim, 8 Julai 2024 – Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki Sidang 2023/2024 dengan kerjasama Rakan Exco mengadakan program Zero To Hero yang bertempat di Pusat Aktiviti Pelajar, Kolej Aminuddin Baki. Program ini merupakan anjuran Naib Yang Di-Pertua Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki Sidang 2023/2024 dan buat julung kalinya diadakan dengan penglibatan seramai 130 orang peserta.

Program ini diserikan lagi dengan kehadiran Pengetua Kolej Aminuddin Baki, Zulkifli Mamat, barisan felo dan pihak pentadbiran kolej bersama-sama dengan Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki, rakan exco dan juga penghuni Kolej Aminuddin Baki. Program ini bukan sahaja disertai oleh penghuni Kolej Aminuddin Baki, malah turut mendapat sambutan dari warga penghuni kolej kediaman yang lain.

Objektif program ini adalah salah satu insentif dalam mempersiapkan bakal Majlis Mahasiswa Kolej yang baharu untuk memikul tanggungjawab yang bakal digalas disamping memberi penghargaan kepada Rakan Exco yang telah memberikan banyak sumbangan dan bakti kepada kolej sepanjang membantu gerak kerja Majlis Mahasiswa Kolej Sidang 2023/2024. Program ini juga mampu memupuk semangat kerjasama dan aspek penyelesaian masalah dalam kalangan penghuni kolej dan bakal Majlis Mahasiswa Kolej pada sesi akan datang.

Zulkifli Mamat menyatakan pandangan beliau bahawa program ini dapat mengeratkan lagi hubungan di antara Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki dengan pihak pentadbiran kolej serta penghuni kolej. Beliau juga turut menyatakan harapan beliau dalam ucapan perasmiannya supaya mengukuhkan hubungan profesional dan sihat diantara Majlis Mahasiswa Kolej dan pentadbiran Kolej Aminuddin Baki. Beliau turut memberi nasihat mengenai 6 perkara penting dalam menjadi pemimpin.

“Sebagai pemimpin, kita seharusnya tidak merasa diri kita hebat dan sombong dengan orang lain. Kita perlu bantu membantu di antara satu sama lain untuk berubah ke arah yang lebih baik dan perlu menerima siapa yang memimpin bersama kita. Hargai diri sendiri sebelum kita hargai diri orang lain,” katanya sewaktu ucapan Program Zero To Hero.  

Program Zero to Hero ini juga bertujuan memberi manfaat buat seluruh penghuni kolej dengan menyediakan jamuan makan tengah hari disamping mengambil peluang beramah mesra bersama Pengetua Kolej Aminuddin Baki, barisan felo, dan Kakitangan Pentadbiran Kolej. Sesi ini juga turut menerapkan elemen kerohanian dengan melaksanakan Solat Zohor secara berjemaah sekaligus mengadakan Majlis Bacaan Yasin bagi mendoakan kejayaan bagi menghadapi peperiksaan yang bakal tiba.

Diharapkan dengan adanya program seperti ini, ianya menjadi satu dorongan dan motivasi kepada penghuni Kolej dalam menjadikan Kolej antara salah satu kediaman yang menjadi tumpuan dalam membina nilai insan sebagai manusia atau pendidik pada masa akan datang disamping memberi kesedaran tentang peranan masing masing dalam menjadikan Kolej Aminuddin Baki kediaman paling kondusif  dan ceria untuk melahirkan jiwa pendidik yang kreatif, inovatif serta berdaya saing antara satu sama lain.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)