Oleh: Dr. Kama Shaffeei dan Siti Fatimah Mohamed

Tanjong Malim, 10 Julai 2024 – Pada tanggal 10 Julai 2024, berlangsungnya program “Jaringan Pendidikan Inovatif: Seri Budiman dan UNS Bersatu” antara Sekolah Rendah Seri Budiman dan Universitas Sebelas Maret, Indonesia. Delegasi seramai 42 orang ini tiba pada pukul 11.00 pagi dan disambut baik oleh warga Sekolah Rendah Seri Budiman. Delegasi ini terdiri daripada pensyarah dan pelajar Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan, Universitas Sebelas Maret.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Malaysia, “Negaraku”, yang diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan Indonesia, “Indonesia Raya”. Suasana penuh semangat dan kehormatan menyelimuti majlis pembukaan ini.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan aluan daripada Dr. Kama Shaffeei, Chief of Education Sekolah Rendah Seri Budiman. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan terima kasih kepada delegasi dari Universitas Sebelas Maret atas kesudian mereka untuk berkunjung ke Sekolah Rendah Seri Budiman. Beliau berharap agar lawatan ini dapat memberikan manfaat bagi kedua-dua belah pihak, khususnya dalam perkembangan pendidikan yang inovatif.

Sehubungan itu, Prof. Dr. Sri Marmuah, S.Pd., M.Pd, Ketua Program Pengajian Sarjana, Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan, Universitas Sebelas Maret, dalam ucapannya melahirkan tanda penghargaan dan rasa syukur atas sambutan hangat yang diberikan oleh pihak Sekolah Rendah Seri Budiman. Beliau menyatakan bahawa kerjasama ini merupakan langkah penting dalam mempererat hubungan antara dua institusi pendidikan dan berharap dapat merealisasikan kolaborasi yang lebih erat di masa depan.

Majlis kemudian diteruskan dengan taklimat tentang sekolah yang disampaikan oleh Dr. Kama Shaffeei. Beliau memberikan penjelasan yang jelas mengenai Sekolah Rendah Seri Budiman, termasuk pendekatan Neoterik yang digunakan dalam proses pembelajaran. Pendekatan ini merupakan hasil daripada penyelidikan dan inovasi para pensyarah UPSI, yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah.

Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderamata dilakukan sebagai simbol penghargaan dan kenang-kenangan daripada kedua belah pihak. Sesi bergambar bersama warga sekolah juga dilaksanakan untuk mengabadikan saat bersejarah ini.

Majlis diakhiri dengan sesi jamuan makan, di mana para hadirin menikmati hidangan yang disediakan. Ucapan terima kasih juga diberikan  kepada para pelajar Universitas Islam Negeri Mataram yang sedang menjalankan Program Komuniti Sosial disini dan juga para ibu bapa murid, khususnya wakil Parent Support Group, atas kesudiaan mereka untuk membantu menjayakan program ini.

Dengan berakhirnya majlis ini, diharapkan kerjasama antara Sekolah Rendah Seri Budiman dan Universitas Sebelas Maret dapat dieruskan pada masa hadapan. Harapannya semoga program kolaborasi ini dapat membuka jalan bagi berbagai inisiatif dan projek pendidikan inovatif di masa hadapan, yang akan memberikan manfaat besar bagi murid, guru, dan institusi pendidikan di kedua-dua negara. Pihak kami berharap agar hubungan yang telah terjalin ini semakin erat dan dapat menghasilkan berbagai kolaborasi yang positif serta berdampak luas dalam dunia pendidikan.

Kami juga berharap bahawa program seperti ini dapat membina jalinan persahabatan yang kuat antara pelajar dan pensyarah dari kedua-dua negara, memperkaya pemahaman budaya, dan memupuk semangat kerjasama antarabangsa. Dengan semangat yang sama, kita dapat terus maju bersama, saling membantu, dan menyumbang kepada peningkatan kualiti pendidikan global. Terima kasih kepada semua pihak yang turut serta dalam menjayakan program ini, dan kami berharap kerjasama ini akan terus berkembang dengan lebih banyak inisiatif dan kegiatan yang bermanfaat di masa mendatang.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)