Oleh: Nurin Nazifa Mohd Zahari dan Diyanah Qistina Amirah Mohd Sidi

Tanjong Malim- Persidangan Penyelidikan Ekonomi Kewangan dan Komunikasi 2024 (PPEKK 2024) anjuran Jabatan Ekonomi, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), di bawah subjek Penyelidikan Ekonomi Kewangan dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diadakan pada 4 Julai lalu. Bertemakan ‘Integrasi Kajian Empirikal Makroekonomi melalui Analisis Data Siri Masa’ persidangan ini telah disertai seramai 55 orang pembentang yang terdiri dari kalangan para penyelidik muda telah menyiapkan projek ekonometrik pertengahan pada semester yang lalu. Selain itu, setiap pembentangan telah di nilai oleh para juri yang diketuai oleh pensyarah Jabatan Ekonomi, FPE Emilda Hashim.

PPEKK 2024 merupakan satu wadah yang disediakan oleh pihak Jabatan Ekonomi, FPE kepada para pelajar yang bertujuan untuk memberikan galakan dalam melahirkan generasi muda yang cakna dengan isu-isu ekonomi di dalam dan luar negara, melalui penggunaan data dan kaedah penyelidikan yang bersesuaian. Majlis dirasmikan oleh pensyarah subjek Penyelidikan Ekonomi Kewangan dan Komunikasi, Profesor Madya Dr. Norimah Rambeli. Melalui ucapan perasmian, beliau berpandangan bahawa persidangan yang diadakan ini merupakan suatu simulasi dari persidangan sebenar yang diadakan di peringkat industri dan negara. Justeru, dengan adanya penganjuran persidangan penyelidikan di dalam kalangan mahasiswa ini, akan mampu menyediakan mahasiswa yang berdaya saing bertepatan dengan keperluan negara dan industri. Selain itu, ucaptama persidangan telah disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Gan Pei Tha, dengan tajuk ‘Penyelidikan dalam Ekonomi’.

PPEKK 2024 berjaya melahirkan seorang tokoh penyelidik muda iaitu Muhammad Nasharudin Ab Raub dan lima pembentang terbaik iaitu, Wong Kwai Heng, Sofwanuraihanah Sarifudin, Syafika Samsuri, Laximee a/p Abimannan dan Muhammad Nasharudin Ab Raub. Selain itu, persidangan ini turut mengiktiraf lima kumpulan terbaik keseluruhan, dimana setiap kumpulan yang terbaik adalah terdiri daripada Muhammad Nasharudin Ab Raub, Muhammad Fadli Syahmi Rosli & Muhammad NurSyahmi Osman, diikuti dengan Siti Hajar Mohd Latepi, Muhammad Farouk Mohd Asri & Muhamad Haikal Andi Willyams @ Muhamad Hadi. Kumpulan Terbaik Keseluruhan yang seterusnya adalah, Muhammad Ikhmal Mazlan & Puvashini a/p Krishnan serta Nurul Wahidah Zaizi & Radthana a/p Ai Win dan Laximee a/p Abimannan & Keerthana a/p Balan.

Barisan ahli jawatankuasa pelaksana PPEKK 2024

Dengan adanya PPEKK 2024 secara langsung menjadi bukti komitmen yang tinggi dan tidak berbelah bahagi oleh Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, UPSI di bawah Jabatan Ekonomi, FPE untuk menyediakan platform terbaik kepada mahasiswa bagi merasai sendiri pelaksanaan persidangan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. PPEKK 2024 juga merupakan satu usaha gigih Jabatan Ekonomi melalui kursus PER 3023 (Penyelidikan Ekonomi Kewangan dan Komunikasi) bagi melahirkan generasi celik penyelidikan untuk negara.