Oleh: Aida Najwa Zahidan & Nurin Jaafar

Tanjong Malim – Kelab Pemadam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Unit AIDS/STD/ HEP C, Pejabat Kesihatan Daerah Muallim, Perak Darul Ridzuan mengadakan Program Pembangunan Sahsiah Siri 1: “Adakah Aku Pembawa HIV?” pada 29 Mei lalu bertempat di Dewan Kolej Za’Ba, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI. Seramai 500 orang peserta telah menghadiri siri ceramah pada kali ini.

Sesi pemeriksaan kesihatan bersama Klinik Kesihatan Tanjong Malim
Suasana kaunter pemeriksaan ‘HIV Tanpa Nama’ yang dijalankan oleh Klinik Kesihatan Tanjong Malim

Program pada kali ini bertujuan memberikan pendedahan dan pengetahuan berkaitan penyakit kelamin yang boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja. Sesi ceramah telah dirasmikan oleh Pegawai Kesihatan Daerah Muallim, Dr. Raja Mohd Azim Raja Haron. Dalam sesi ucapan perasmian beliau ada menyatakan bahawa saringan awal terhadap penyakit kelamin ini amat penting bagi mengelakkan jangkitan menjadi lebih teruk sehingga sukar untuk dirawat. Setiap individu boleh melaksanakan saringan awal di klinik kesihatan yang berdekatan bagi mencegah daripada penyebaran yang berpotensi untuk berlaku sekiranya menghidap penyakit yang dapat berjangkit seperti HIV.

Sesi ceramah telah disampaikan oleh Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Slim River Dr. Nur Alyza Yusuf. Dalam ceramah yang disampaikan oleh beliau, penekanan terhadap apa itu penyakit kelamin telah diberikan dengan sangat jelas. Perkara ini telah memberikan kefahaman kepada para peserta mengenai penyakit HIV kerana terdapat tanggapan yang telah disalah erti dalam masyarakat pada hari ini. Penjelasan dan penerangan yang diberikan oleh Dr. Alyza sedikit sebanyak telah merubah stigma negative yang dianggap terhadap pesakit yang menghidap penyakit HIV. Dalam masa yang sama, penerangan yang disampaikan oleh Dr. Alyza telah membantu para peserta untuk mengetahui kaedah untuk mencegah diri daripada berpotensi untuk mendapat penyakit tersebut.

Sesi penyerahan cenderahati kepada Dr. Raja Mohd Azim Raja Haron

Sesi ceramah seperti ini dapat membantu memberikan pengetahuan kepada peserta dan masyarakat tentang kesan dan akibat jika terlibat dengan aktiviti yang mempunyai potensi penyebaran penyakit kelamin. Stigma dan tanggapan negatif yang tidak berasas juga dapat dibetulkan melalui penerangan dan penjelasan yang ringkas. Tanggapan negatif perlu dibetulkan supaya mereka yang menjadi mangsa tidak menyalahkan diri sendiri dan mampu memberi kesan terhadap kesihatan mental. Diharapkan agar program-program seperti ini dapat terus dijalankan dalam memberi pengetahuan dan penjelasan yang nyata kepada masyarakat.