Oleh: Aida Najwa Zahidan & Ahmad Shazwi Ahmad Shukri
Johor Bahru – Jelajah Counselor On Wheel diteruskan lagi ke Sekolah Kebangsaan Kangkar Tebrau, Johor pada 10 Mei. Seperti siri yang sebelumnya, siri jelajah Counselor on Wheel mensasarkan kumpulan murid sekolah rendah dalam memberikan pendedahan kepada mereka tentang pelbagai ilmu dan pengetahuan baru. Counselor on Wheel pada siri kali ini sedikit berbeza daripada siri-siri yang sebelumnya yang lebih menekankan tentang penjagaan kesihatan mental dan kesalahan buli. Pada siri kali ini, Counselor on Wheel telah tertumpu kepada aspek kepimpinan yang perlu dipupuk sejak di peringkat rendah.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai pengisian dan pengetahuan yang telah dititikberatkan kepada murid untuk menjadi seorang pemimpin yang berwibawa. Penekanan elemen Plan, Organise, Lead and Control telah memudahkan murid-murid yang terlibat untuk lebih memahami tugas dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh seorang pemimpin. Perkongsian secara Problem Based Learning (PBL) telah merangsang pemikiran peserta untuk berfikir secara kritis dan kreatif dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Walaupun peserta pada siri kali ini melibatkan murid dari darjah satu hingga enam dan turut melibatkan penyertaan murid daripada kelas Pendidikan Khas, namun penglibatan dan komitmen yang ditunjukkan oleh mereka sangat memberangsangkan. Hal ini membuktikan bahawa peserta sedar tentang tanggungjawab yang bakal mereka pikul sebagai seorang pemimpin di sekolah.
Program pada siri ini dilihat telah mencapai objektif utamanya iaitu, memberi pengetahuan kepada peserta terlibat bagaimana seseorang pemimpin berfikir dan bertindak dalam merancang sesuatu perkara. Seterusnya, peserta juga lebih bersedia untuk membuat sesuatu keputusan sebagai seorang pemimpin. Pengisian yang telah diberikan memberi pengetahuan dan panduan yang jelas, bagaimana seseorang pemimpin perlu bertindak secara rasional. Melalui maklum balas yang diterima daripada peserta, jelas menunjukkan bahawa mereka faham dengan jelas tentang kaedah dan cara yang perlu dipraktikkan sebagai seorang pemimpin.
Diharapkan agar program-program kepimpinan seperti ini dapat dijalankan bukan sahaja diperingkat rendah, malah turut melibatkan peringkat yang lebih tinggi agar pemimpin yang berwibawa dapat dilahirkan. Melalui program ini, Pusat Kaunseling UPSI turut mementingkan aspek kepimpinan dalam mencorak pelapis pemimpin bukan sahaja di peringkat sekolah dan universiti, malah peringkat kebangsaan dan antarabangsa.