Penceramah sedang menyampaikan maklumat kepada pesertaPenceramah sedang menyampaikan maklumat kepada peserta

Oleh: Cik Che Noor Hawa Binti Che Ismail

TANJUNG MALIM, 13 Mei 2026 – Pusat Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan Program Restart, Refocus, Rise: Series 1 (Degree) bertempat di Bilik Seminar Raflesia, Pusat Pelajar. Program kerjasama dengan Kelab Psychological First Aid UPSI ini telah berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 2.00 petang ini dan disertai oleh pelajar-pelajar peringkat ijazah sarjana muda yang berminat dalam meningkatkan fokus, motivasi serta ingin lebih jelas dengan hala tuju akademik mereka.

Program ini dikendalikan oleh seorang kaunselor dan empat kaunselor pelatih Pusat Kaunseling. Pelaksanaan program ini bertujuan menyediakan ruang yang selamat kepada pelajar untuk meluahkan perasaan dan berkongsi pengalaman tanpa rasa dihukum atau dinilai. Selain itu, program ini membantu peserta mengenal pasti faktor-faktor yang menjejaskan fokus, motivasi serta keyakinan diri, di samping membina semula semangat mereka melalui penetapan matlamat yang realistik dan boleh dicapai.

Salah seorang peserta memperkenalkan dirinya
Peserta memaklumkan tujuan menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda
 
Antara aktiviti semasa slot Restart

Sepanjang program berlangsung, para peserta terlibat secara aktif dalam sesi perkongsian pengalaman, refleksi kendiri dan aktiviti pembangunan diri yang dirancang khusus untuk membantu mereka memahami cabaran akademik yang dihadapi. Antara sorotan utama program ialah keterbukaan peserta dalam berkongsi keadaan diri serta pencapaian akademik masing-masing. Melalui aktiviti yang dijalankan, peserta dilihat lebih memahami tujuan utama mereka melanjutkan pengajian serta menyedari kepentingan mengekalkan prestasi akademik yang baik sebagai persediaan menghadapi dunia kerjaya.

Selain itu, program ini turut berjaya meningkatkan kesedaran peserta terhadap peranan dan kepentingan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling sebagai medium sokongan berterusan dalam membantu mereka mencapai kejayaan akademik. Para peserta turut didedahkan kepada strategi pengurusan diri dan motivasi yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian bagi mengekalkan kecemerlangan akademik serta kesejahteraan psikologi.

Slot Refocus
Peserta khusyuk mendengar perkongsian dan maklumat yang disampaikan oleh penceramah

Program ini telah memberikan impak yang positif kepada para peserta. Ramai peserta menyatakan bahawa mereka memperoleh perspektif baharu mengenai matlamat pengajian dan perancangan masa hadapan. Salah seorang peserta, Saudari Lee Hui Yi, menyatakan bahawa, “Saya berpendapat bahawa sesi Restart berfaedah untuk saya sebab saya dapat mengimbas balik tentang tujuan diri sendiri melanjutkan pelajaran. Dengan target yang lebih jelas, saya akan dapat menumpukan usaha saya untuk mencapai matlamat tersebut.”

Slot Rise, di mana peserta sedang menerangkan apa yang mereka sedar dan perlu laksanakan untuk mencapai keputusan akademik yang tinggi dan menjamin masa depan mereka.
 

Secara keseluruhannya, Program Restart, Refocus, Rise: Series 1 (Degree) telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dengan memberikan kesedaran kepada peserta mengenai tujuan sebenar mereka melanjutkan pengajian serta kepentingan meningkatkan pencapaian akademik demi masa depan kerjaya yang lebih cemerlang. Pusat Kaunseling UPSI berharap agar para peserta dapat mengekalkan motivasi, keyakinan diri dan komitmen yang tinggi dalam menentukan hala tuju masa hadapan serta terus memanfaatkan perkhidmatan kaunseling yang disediakan oleh universiti.