Oleh: Aida Najwa Zahidan & Ahmad Shazwi Ahmad Shukri

Tanjong Malim – Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) komited dalam pelaksanaan program-program kolaborasi bersama rakan strategik dalam usaha untuk memberi perkhidmatan yang terbaik bukan sahaja diperingkat universiti, malah komuniti dan kebangsaan. Pada 27 Mei lalu, Pusat Kaunseling UPSI telah dikunjungi oleh wakil daripada delegasi Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan (MGKK) Negeri Perak dan Pejabat Pendidikan Daerag (PPD) Muallim, Negeri Perak. Dalam siri lawatan ini, pihak MGKK dan PPD Muallim berhasrat untuk mengadakan beberapa program bersama Pusat Kaunseling UPSI.

Program-program yang dirancang bukan sahaja melibatkan murid-murid sekolah disekitar daerah Muallim, malah turut melibatkan guru-guru novis, dan guru sedia ada. Program yang dirancang bertujuan untuk memberikan pengetahuan luar bilik kuliah serta memberi pengalaman kepada guru-guru novis ini untuk menimba pengalaman dan pengetahuan dalam menguruskan kes-kes berkaitan kaunseling diperingkat sekolah. Ekoran perancangan lantikan guru secara ‘one-off’ yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan, program atau kursus seperti ini wajar diberikan kepada guru novis agar mereka dapat berhadapan dengan kes-kes melibatkan murid sekolah dengan kaedah yang betul dan bersesuaian dengan peringkat umur mereka.

Dalam masa yang sama, program-program kolaborasi ini dapat mengeratkan hubungan antara Pusat Kaunseling UPSI bersama Pejabat Pendidikan Daerah dan MGKK yang sudah terjalin. Perkara ini juga dapat meningkatkan nama Pusat Kaunseling UPSI dalam memberikan khidmat tenaga pakar berhubung bidang – bidang yang diperlukan. Bukan itu sahaja, melalui jalinan kerjasama ini dapat menjadikan Pusat Kaunseling UPSI sebagai medan rujukan melibatkan profesion guru kaunseling di sekitar daerah Muallim.

Program-program yang dirancang dan dirangka dapat meningkatkan tahap profesionalisme guru kaunseling ke arah memberikan perkhidmatan yang berkualiti tidak kira peringkat umur. Diharapkan agar lebih banyak jalinan program kerjasama melibat pelbagai agensi dalam usaha untuk memberikan khidmat bakti bukan sahaja kepada warga universiti, malah di peringkat komuniti, kebangsaan dan antarabangsa.