Oleh: ChM Dr Yuhanis Mhd Bakri, Dr Adibah Abu Bakar, Mohammad Ezlan Dzaqwan Masiren
Batang Kali, Selangor, 3 Julai 2024 – Di Malaysia, minat pelajar terhadap mata pelajaran STEM membimbangkan. Dengan semangat peribahasa Melentur Buluh dari Rebungya, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meneruskan lagi kerjasama strategik bersama Sekolah Bitara UPSI iaitu Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali.
Program dimulai dengan Perasmian Festival STEM SK Bandar Baru Batang Kali yang akan berlangsung selama sebulan bermula 3 hingga 31 Julai yang melibatkan semua murid dan guru sekolah.
Perasmian turut diserikan dengan tema adiwira (superhero) yang mana murid memakai topeng muka bertemakan adiwira yang pelbagai. Malah guru-guru juga turut berpakaian seperti topi yang mengikut tema tersebut.
Majlis perasmian dimeriahkan dengan persembahan lakonan dan tarian murid, pertunjukan roket, persembahan bebola api mengikut tema.
Majlis perasmian ini telah dijayakan bersama oleh pihak sekolah dan UPSI dengan koordinasi daripada Guru Besar sekolah, En Mohd Hasren Damiri, Guru Penyelaras Sekolah Bitara, Puan Shafaaton Mudaker, dan Penyelaras Utama Sekolah Bitara, ChM Dr Yuhanis Mhd Bakri. Pelbagai program telah direncana pihak sekolah sempena bulan STEM.
Program Jelajah Sains dan Matematik Sekolah Bitara FSM @ SK Bandar Baru Batang Kali yang dianjurkan FSM dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) ini merupakan pembuka tirai bagi aktiviti dan program bulan STEM di sekolah.
Program Jelajah ini disertai 70 murid sekolah dan 11 orang fasilitator UPSI. Program turut dijayakan oleh Penyelaras Bersama Sekolah Bitara SKBBBK, Dr Adibah Abu Bakar serta Ketua Fasilitator Mohammad Ezlan Dzaqwan Masiren.
Program berbentuk siri Jelajah STEM ini telah diinspirasikan oleh Allahyarhamah Prof. Madya Dr. Nor Zila Abd Hamid dan seterusnya diselaraskan oleh Dr Syafiqah Yap Abdullah dengan penglibatan beberapa buah sekolah bitara di bawah FSM UPSI.
Setiap program Jelajah Sains dan Matematik Sekolah Bitara FSM 2024 mempunyai 5 Pusingan dan terdiri daripada 8 aktiviti iaitu Pusingan 1: Ice Breaking, Pusingan 2: Checkpoint 1 hingga 5, Pusingan 3: Jurutera Bangunan Tertinggi, Pusingan 4: Pemikiran Kritikal Terpantas, Pusingan 5: Seimbangkah Anda?
Program ini diharap telah berjaya mencapai objektifnya iaitu melatih Fasilitator UPSI berkenaan aktiviti sains dan matematik, memberi pendedahan kepada guru bagi mengaplikasi aktiviti sains dan matematik dalam PdP dan meningkatkan minat murid kepada subjek sains dan matematik.