Oleh: Fatin Nur Najwa Salleh
Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Exco Akademik dan Kerjaya Majlis Anak Johor (M@JOR) bersama rakan kolaborasi Volunteers Fakulti Sains Kemanusiaan 4 You (VFSK4U) UPSI telah menganjurkan Program Creative Recycling Design @ Kampung Chinggung bertempat di Behrang pada 25 Mei 2024 lalu.
Program ini adalah program reka cipta bahan kitar semula menjadi bahan baharu yang menjadi perintis kepada mahasiswa dan mahasiswi UPSI kepada komuniti masyarakat Orang Asli dalam memberikan idea kreatif bagi aktiviti reka cipta yang dijalankan sekaligus mengeratkan ukhuwah antara satu sama lain.
Antara produk yang dihasilkan adalah seperti pasu tanaman hiasan, bekas alat tulis, rak buku mini dan banyak lagi. Sesi penjurian pula dikendalikan oleh Majlis Tertinggi Majlis Anak Johor (M@JOR) dan Dr. Nurzaimah binti Asalal selaku Penasihat Volunteers Fakulti Sains Kemanusiaan 4 You (VFSK4U) UPSI.
Program ini juga telah dirasmikan oleh Dr. Nurzaimah binti Asalal dan turut hadir bersama dalam program ini ialah Encik Zuraimi A/L Chik Alek, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat Kampung Orang Asli Chinggung dan Encik Rani bin Tam, Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat Kampung Orang Asli Chinggung Kampung Orang Asli Chinggung.
Menurut Dr. Nurzaimah, “Program Creative Recycling Design pada hari ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran alam sekitar dengan mendidik masyarakat mengenai pentingnya menjaga alam sekitar melalui inisiatif kreatif dalam kitar semula. Sampah yang dianggap sebagai sisa buangan boleh diubah menjadi sesuatu yang bernilai dan berguna, sekaligus mengurangkan pencemaran.”
Program ini sememangnya dapat meningkatkan tahap kreativiti kanak-kanak Orang Asli dalam mereka cipta sesuatu bahan kepada objek baharu yang mempunyai fungsi yang tersendiri selain memupuk sifat berdaya saing, kreatif serta memiliki daya tahan yang tinggi untuk bersaing dalam mengeluarkan idea yang bernas sama ada dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi UPSI dan komuniti masyarakat Orang Asli.
Ia juga merupakan salah satu fokus utama M@JOR bagi membangkitkan kesedaran akan aktiviti untuk menjaga alam sekitar dengan mengitar semula barang kitar semula. Diharapkan agar program sebegini diteruskan lagi pada masa akan datang.