Oleh: Nurul Aina Shuhada binti Ahmad Tajudin

Tanjong Malim, 3 Julai 2024 – Sebuah program pencetus idea untuk bumi yang lebih hijau melalui peranan belia. Itulah hasrat yang berjaya direalisasikan menerusi program Ecoeureka: Inspiring Innovation From Nature’s Wonder. Program ini merupakan anjuran ExcoKebajikan Dan Kesukarelawanan Majlis Anak Johor (M@JOR) Sidang 2023/2024, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kolaborasi bersama Kelab Debat Bahasa Melayu (KDBM) UPSI, Rakan Alam Sekitar (RAS) UPSI, Persatuan Mahasiswa Teknologi Kejuruteraan (PERMATEK) UPSI dan juga Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) yang bertempat di Dewan Kuliah Pusat 5 (DKP 5), UPSI. Program ini dimeriahkan dengan kehadiran lebih kurang 100 orang penonton termasuk peserta bagi memeriahkan lagi perjalanan program.

Program ini dianjurkan bersempena Hari Alam Sekitar demi memberi pendedahan tentang kebajikan alam sekitar yang menjadi tanggungjawab bersama. Antara pertandingan yang dijalankan termasuklah pertandingan Pidato bagi peringkat pelajar sekolah dan juga peringkat pelajar UPSI serta pertandingan Inovasi bagi peringkat pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA).

Pertandingan Pidato dengan tema Inovasi Hijau: Membentuk Masa Depan Berkelanjutan ini disertai oleh 7 orang pelajar sekolah dan 4 orang pelajar UPSI yang berani menyahut cabaran manakala bagi pertandingan Inovasi pula, pertandingan ini terbuka kepada pelajar IPTA di seluruh Malaysia dengan tema Kelestarian Alam Sekitar. Penyertaan yang lumayan disambut dengan pendaftaran 5 kumpulan pelajar iaitu 4 kumpulan dari UPSI dan 1 kumpulan dari Universiti Sains Islam Malaysia.

Pelaksanaan Pertandingan Pidato: Inovasi Hijau: Membentuk Masa Depan Berkelanjutan bertujuan untuk memberi kesedaran dan juga inspirasi kepada seluruh masyarakat tentang isu-isu alam sekitar dan kepentingan untuk melestarikan alam sekitar supaya generasi akan dapat menikmati kebaikannya bersama selain daripada mencungkil bakat generasi masa ini dalam menyampaikan informasi dengan efektif.

Idea penghasilan inovasi dengan tema Kelestarian Alam Sekitar pula telah berfokuskan kepada bahan buangan domestik dan bahan kitar semula yang mampu diolah menjadi satu produk yang lebih mesra alam.

Menurut pengarah program, Siti Zulhaida Binti Zulkefli merangkap exco Kebajikan dan Kesukarelawanan sidang 2023/2024, program ini diadakan bagi memberi kesedaran tentang kelestarian alam melalui beberapa pertandingan yang diadakan iaitu pertandingan inovasi dan pertandingan pidato. Saya percaya bahawa pertandingan yang dianjurkan ini dapat memberi pendedahan tentang alam sekitar kepada khalayak ramai.

Pertandingan Pidato bagi peringkat sekolah telah dimenangi oleh Nur Alifah Ilyana binti Mohd Fadhilah dari SMKA Sultan Azlan Shah (Johan), Iris Ramadhani binti Noor Mohamad dari SMK Seri Serdang (Naib Johan) dan Nur Sajidahanie binti Jamian dari MRSM Kuala Kubu Bahru (Ketiga).

Bagi peringkat UPSI, pertandingan ini dijuarai oleh Muhammad Aqua Nafis bin Mohd Nasir pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sejarah dengan Kepujian dari Fakulti Sains Kemanusiaan, diikuti oleh Ayunie Syafiqah binti Abdul Ajis pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua dengan Kepujian dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi (Naib Johan) serta Faridah binti Jahajulah pelajar Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dengan Pendidikan juga dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi (Ketiga).

Pertandingan Inovasi pula dimenangi oleh kumpulan Crabteries dari Universiti Sains Islam Malaysia (Johan), kumpulan Aqualens dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (Naib Johan) dan kumpulan Windbrella juga dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (Ketiga).

Program Ecoeureka: Inspiring Innovation From Nature’s Wonder ini bukan sahaja berjaya mencungkil bakat pelajar dalam bidang inovasi dan pidato, malah turut menyemai kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar dalam kalangan belia. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan untuk melahirkan generasi yang lebih prihatin dan bertanggungjawab terhadap kelestarian bumi.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)