9 Julai 2024 – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memberikan bantuan peruntukan kewangan kepada Badan Pelajar yang berdaftar di bawah Unit Badan Pelajar. Sehingga kini, sebanyak RM 11,000 telah ditaja bagi menggalakkan kelab dan persatuan untuk melakukan program yang berimpak.
Inisiatif bantuan kewangan ini bertujuan untuk membiayai mana-mana program yang berteraskan pembangunan komuniti di mana telah dinyatakan di dalam Student for Society (S4S). Terdapat 6 teras pembangunan komuniti yang dipandang kira dalam kelulusan peruntukan dana kepada badan pelajar iaitu Khidmat Sosial, Pengurusan Kemanusiaan, Pendidikan Berkualiti, Kesihatan & Kesejahteraan, Kelestarian Alam Sekitar dan Advokasi Kepimpinan. Teras pembangunan komuniti ini dijadikan salah satu elemen penting dalam melaksanakan apa-apa program bagi memastikan program tersebut memberikan impak yang positif kepada masyarakat setempat dan bukan sekadar pelajar UPSI semata-mata.
Menurut Naib Yang Dipertua 2 MPP UPSI, Mohamad Amirul Hisyam Mohamad Izam, “Proses penajaan MPP UPSI kepada Badan Pelajar perlu dilakukan sekurang-kurangnya sebulan sebelum program berlangsung. Hal ini kerana kami perlu membuat semakan awal. Sekiranya mempunyai kesalahan ia akan dapat dibetulkan sebelum program berlangsung serta melancarkan proses pitching yang akan dilakukan sebanyak 2 kali sebulan dimana pada waktu itu pengarah program perlu membentangkan kertas kerja pada Yang Dipertua MPP UPSI dan kewangan akan disemak oleh Bendahari MPP UPSI.”
Keputusan untuk menaja kepada badan-badan pelajar ini merupakan komitmen MPP UPSI dalam memperkukuhkan hubungan baik antara badan pelajar dan pihak pentadbiran universiti. “Kami menggalakkan semua badan pelajar untuk menganjurkan program yang berkesan dan bermanfaat kepada komuniti pelajar serta masyarakat setempat mahupun di sini ataupun diluar sana,” tambah Amirul Hisyam.
Kerjasama antara MPP UPSI dan badan-badan pelajar dijangka dapat mencipta persekitaran yang kondusif untuk pembangunan pelajar secara menyeluruh. Diharapkan dengan sokongan ini, pelajar dapat menjalankan aktiviti mereka dengan lebih efektif dan berkesan.
Inisiatif ini juga menjadi contoh yang baik tentang betapa pentingnya kerjasama dan sokongan dalam membentuk generasi masa depan yang berdaya saing tinggi dan berintegriti. Semoga usaha ini dapat memberi dorongan kepada pihak lain untuk turut serta dalam berkolaborasi apa jua program.
MPP UPSI menegaskan komitmen mereka untuk terus menyokong inisiatif yang bermanfaat kepada pelajar dan masyarakat sekitar. Dengan itu, mereka yakin usaha ini dapat memberi impak positif yang berterusan dalam komuniti universiti dan di luarannya.