Disediakan Oleh: Hazim Haziq, Sofea Maisarah dan Farhah Nabila
Tanjong Malim, UPSI – Majlis Serah Tugas dan Watikah Pelantikan Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (MMK KUO) 2024 menandakan permulaan bagi kepimpinan baru, tetapi juga merupakan kesempatan untuk meraikan kejayaan terdahulu dan mengukuhkan aspirasi masa depan. Dalam acara bersejarah ini, penghargaan diberikan kepada 32 orang mantan Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (MMK KUO) Sidang 2023/2024 yang lebih dikenali sebagai sidang ARKANA. Pengiktirafan juga disampaikan atas pencapaian Kolej Bitara, serta penyerahan watikah pelantikan kepada penyambung legasi MMK KUO 2024/2025.
MMK KUO Sidang Arkana 2023/2024 telah menempuh tahun yang penuh cabaran dalam mengembalikan kegemilangan dan kejayaan bagi MMK KUO. Sepanjang tempoh tersebut, MMK KUO telah menunjukkan komitmen yang luar biasa dalam mempertingkatkan kualiti kehidupan mahasiswa, menganjurkan pelbagai aktiviti bermanfaat, dan memimpin dengan penuh dedikasi. Sidang Arkana ini telah berjaya menjalankan pelbagai program yang memberi impak positif kepada pembangunan diri, aktiviti kebajikan, dan usaha-usaha meningkatkan semangat kekeluargaan di kalangan mahasiswa.
Isam Julasili, Pengarah Program Majlis Serah Tugas dan Watikah Pelantikan Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (MMK KUO) 2024 berkata “Penghargaan kepada MMK KUO Sidang 2023/2024 adalah satu pengiktirafan terhadap usaha keras dan sumbangan mereka sepanjang kepimpinan sidang Arkana. Acara ini bertujuan untuk menghargai segala usaha dan dedikasi yang telah ditunjukkan. Penganugerahan sijil penghargaan dan ucapan terima kasih adalah simbolik kepada pengiktirafan terhadap pencapaian mereka yang telah membawa perubahan positif dan meninggalkan legasi yang kukuh dalam sejarah Kolej Ungku Omar.
Shahril Shazwan, Yang Dipertua Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar berkata “Salah satu pencapaian terbesar MMK KUO untuk Sidang 2023/2024 adalah pengiktirafan sebagai Kolej Bitara semasa Majlis Anugerah Kolej-kolej Kediaman UPSI yang lalu. Gelaran ini bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan dalam pelbagai aspek termasuk akademik, kepimpinan, kebudayaan dan penglibatan komuniti, tetapi juga menandakan pencapaian tertinggi dalam sistem pengurusan Kolej Ungku Omar.”
Pengiktirafan ini adalah hasil daripada usaha gigih MMK KUO dalam melaksanakan pelbagai inisiatif yang berimpak tinggi. Mereka telah memperkenalkan program-program inovatif, meningkatkan kualiti pengurusan dan perkhidmatan, serta menjalankan aktiviti-aktiviti yang memberi manfaat kepada semua pihak dalam kampus. Dengan gelaran Kolej Bitara, Kolej Ungku Omar kini berada di barisan hadapan dalam menyokong perkembangan holistik mahasiswa dan memberikan sumbangan penting kepada institusi pendidikan tinggi.
Dalam majlis sama, penyerahan watikah pelantikan kepada kepimpinan baru Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar Sidang 2024/2025 turut dijalankan. Majlis ini adalah satu acara yang penting dalam proses peralihan kepimpinan. Ia memberi peluang kepada generasi baru untuk mengambil alih tanggungjawab dan meneruskan legasi kejayaan yang telah dibina oleh pendahulu mereka.
“Generasi baru MMK KUO akan menghadapi cabaran dan peluang yang berbeza dalam sidang akan datang. Dengan amanah ini, mereka akan menerima mandat rasmi untuk meneruskan usaha-usaha membangunkan kolej dan memimpin mahasiswa ke arah kejayaan yang lebih tinggi supaya kekal relevan dan menjadi rujukan. Penyerahan watikah ini juga adalah simbolik kepada kepercayaan dan sokongan yang diberikan oleh pihak pengurusan kolej kepada mereka.” kata Prof. Madya Dr. Mohd Nizam Nasrifan dalam ucapan beliau sekaligus merasmikan majlis tersebut.
Pada kali ini, seramai 36 pelajar pelbagai latar belakang diangkat bagi menerajui kepimpinan MMK KUO bagi sidang 2024/2025. Saudara Ahmad Haziq Arawi telah diberi kepercayaan sebagai Yang Dipertua bagi menggalas tanggungjawab seterusnya.
Dalam ucapan sulungnya, Ahmad Haziq Arawi mengharapkan komitmen dan sokongan semua pihak membantunya dalam mengekalkan pencapaian ketika ini. Mudah untuk kita mendapatkan kejayaan, tetapi tidak mudah untuk mengekalkan kemenangan, katanya lagi.
Dengan kepimpinan baru yang ada, semoga Kolej Ungku Omar akan terus berkembang maju, melata mahasiswa yang berwawasan dan berkepimpinan cemerlang dalam membentuk masa depan yang lebih baik dan mengekalkan kolej bitara pada masa akan datang.