Oleh: Bazli Razak

Tanjong Malim- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Kolej Awang Had Salleh (KAHS) dan Pusat Islam menganjurkan Majlis Bacaan Yassin dan Tahlil buat Mantan Pensyarah UPSI, Allahyarham Prof Dr. Qismullah Yusuf dan Alumni UPSI,  Allahyarhamah Nur Farah Kartini Abdullah.

Majlis yang disertai oleh kakitangan dan pelajar UPSI diadakan di Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI pada 17 Julai.

Sesi bacaan Yaasin dan tahlil ini dipimpin oleh Pembantu Hal Ehwal Islam UPSI, Encik Mohd Ali Abdul Malek.

Turut hadir Naib Canselor UPSI, Prof Dato’ Dr. Md Amin Md Taff;Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof Dr. Abdul Rahim Razalli; Pendaftar, Encik Helmi Zaifura Abdul Rahman; Pengarah Jabatan Strategik, Prof Dr. Azmi Mohamed dan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Prof Madya Dr. Mohd Izwan Shahril.

Prof Dato’ Dr. Md Amin berkata didalam ucapan beliau mengingatkan warga UPSI agar sentiasa menjaga ukhwah kekeluargaan melalui menjaga kebajikan staff mahupun pelajar.

“UPSI merupakan universiti yang unik kerana setiap warga UPSI yang mencurahkan bakti di universiti merupakan sebuah asset yang sangat berharga.

Menurut beliau, UPSI sedia menyalurkan khidmat bantuan kepada ahli keluarga mangsa sepanjang mereka berada disini.

“Pihak UPSI turut menyediakan kemudahan penginapan serta kenderaan bagi keluarga mangsa bagi memudahkan urusan ke hospital, balai polis, mahkamah dan sebagainya.

“Pihak UPSI juga turut menyediakan beberapa buah bas bagi staff dan pelajar yang akan mengiringi jenazah ke tanah perkuburan sebagai tanda penghormatan dan sokongan kepada arwah.

Sementara itu, Fakulti Pembangunan Manusia dan Pusat Kaunseling juga menyediakan bantuan psikologi bagi membantu trauma yang dihadapi oleh pihak keluarga serta orang terdekat mangsa.

Terdahulu, Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak Rabu lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan ditemukan mati di ladang sawit di Hulu Selangor.

Mayat wanita berusia 25 tahun itu ditemukan kira-kira jam 6 petang dan dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.

Susulan itu, seorang suspek yang disahkan sebagai anggota polis dipercayai teman lelaki mangsa direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)