Oleh: Afifah Adriana Aznan

Tapah, Perak, 1 Ogos– Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus menabur bakti melaksanakan program khidmat komuniti dengan menghasilkan mural di Sekolah Kebangsaan Tapah, Perak pada 30 Julai hingga 1 Ogos yang lalu.

Program dengan kerjasama Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif bersama Fakulti Muzik dan Seni Persembahan ini merupakan salah satu alternatif pendedahan pengurusan dan pengoperasian Program Pemulihan Khas menerusi penghasilan “Mural Laman KALAM” yang bertindak sebagai ruang kreatif bagi murid-murid melakukan aktiviti pembelajaran menerusi kaedah permainan.

Menurut Pengarah UCTC, Prof. Dr. Mohd Azlan Nafiah, kesedaran terhadap kepentingan mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif dan menarik di dalam bilik darjah mahupun dalam konteks persekitaran sekolah adalah amat signifikan di dalam merangsang minda dan psikomotor murid-murid menerusi pelbagai aktiviti PdP sama ada secara formal atau tidak formal.

Kesedaran komuniti sekolah dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif tidak hanya tertumpu di dalam bilik darjah sahaja, malahan persekitaran sekolah juga memainkan peranan penting  dalam merangsang minda dan minat murid-murid untuk lebih aktif dan terlibat di dalam aspek aspek PdP yang bersifat interaktif.

Pensyarah Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif selaku Pengarah Program, Prof. Dr. Mohd Fauzi Sedon @ M. Dom berkata pilihan meletakkan lukisan mural dengan tema permainan “Dam Ular” di sekolah ini adalah untuk memberikan pengalaman pembelajaran yang interaktif dengan elemen permainan yang diintegrasikan dalam reka bentuk bagi meningkatkan pemahaman mereka terhadap konsep matematik, seperti nombor dan pengiraan dalam suasana yang tidak formal.

Inisiatif penghasilan mural di Laman KALAM ini mampu mewujudkan suasana persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dengan memanfaatkan ruang yang ada, selain dapat membentuk kepribadian murid dan meningkatkan kemahiran sosial.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata projek mural yang dilaksanakan UPSI ini adalah contoh cemerlang bagaimana seni boleh digunakan sebagai alat pendidikan, meningkatkan suasana sekolah dan memberi kesan positif kepada pelajar.

Selain itu, ia bukan sahaja dapat meningkatkan kebersihan persekitaran sekolah tetapi ia berupaya meningkatkan kesedaran pembelajaran dan meningkatkan kemahiran sosial dalam kalangan murid-murid.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)